Sabtu, 16 Julai 2011

Keputusan rayuan kes hasutan Karpal ditangguh

THE MALAYSIAN INSIDER



PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya berhubung rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan peguam Karpal Singh daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak pada satu sidang akhbar, dua tahun lepas.

Laporan Bernama Online menyebut, Hakim Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Hakim Datuk Cement Alan Skinner dan Datuk Mohamad Apandi Ali berkata mereka perlu meneliti hujah panjang lebar yang dikemukakan kedua-dua pihak.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin manakala Karpal (gambar) mewakili diri sendiri bersama-sama peguam Jagdeep Singh Deo, yang juga anak lelaki sulungnya.

Pada 11 Jun tahun lepas, Hakim Azman Abdullah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan bahawa kenyataan Karpal pada sidang akhbar itu telah menyebabkan rakyat berasa marah kepada Sultan Perak.

Peguam itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di sini, antara 12 hingga 12.30 tengah hari pada 6 Feb 2009, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Karpal berhujah dalam ucapan pembukaan, pendakwaan menyatakan mereka akan mengemukakan bukti bahawa beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang tertakluk di bawah Seksyen 3(1)(a) dan 3(1)(d).

Beliau berkata Seksyen 3(1)(a) menyentuh kenyataan atau tindakan mempersoalkan hak mutlak mana-mana Sultan, manakala 3(1)(d) lebih kepada perkataan berbaur hasutan sehingga menyebabkan perasaan tidak puas hati terhadap Sultan.

Bagaimanapun, Karpal berkata Noorin dalam hujahnya semalam secara mendadak merujuk Seksyen 3(1)(f) yang menyatakan perkataan yang didakwa berbaur hasutan itu telah mempersoalkan hak mutlak Sultan.

Katanya, seksyen itu melanggar kebebasan bersuara serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan memandangkan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan berkenaan, beliau akan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Noorin berkata perkataan yang diucapkan Karpal tertakluk di bawah Seksyen 3 Akta Hasutan dan peguam itu sememangnya mempersoalkan kuasa Sultan.

Tiada ulasan: