Rabu, 20 Julai 2011

Jais tiada kuasa arah tutup pusat hiburan semasa Ramadan

July 19, 2011

SHAH ALAM, 19 Julai — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan supaya semua pusat hiburan di negeri ini tidak beroperasi sepanjang Ramadan.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata waktu operasi pusat hiburan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, yang juga bertindak sebagai pengeluar lesen.

Menurut laporan Bernama Online, Jais tetap menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah 1995 terhadap mana-mana umat Islam yang didapati melakukan kesalahan.

Menurutnya, Jais juga sentiasa memantau pusat hiburan di negeri ini mengikut bidang kuasa yang ada terutama bagi memastikan umat Islam di Selangor menghormati Ramadan dan tidak terbabit dalam aktiviti maksiat.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya lebih peka terhadap logo halal yang digunakan oleh pengusaha makanan di premis masing-masing.

“Logo halal yang sah adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mai) sahaja. Jakim dan Mais tidak pernah melantik mana-mana agensi untuk memberi sijil pengesahan halal,” katanya.

Marzuki berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha kedai makanan yang sengaja menjual makanan dan minuman kepada umat Islam yang tidak berpuasa sepanjang Ramadan ini.

“Jais meminta peniaga makanan supaya memulakan operasi jualan mereka mulai 3 petang ke atas bagi mengelakkan perkara itu,” kata beliau.

Beliau berkata peniaga yang menjual makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 Tahun 1995 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua, katanya mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Tiada ulasan: