Selasa, 19 Julai 2011

Isu-isu agama harus diselesai dengan adil, kata Pak Lah


KUALA LUMPUR— Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata isu-isu yang berkaitan agama lain harus diselesaikan dengan adil selain mengambil kira-kira lunas Islam.

Bekas perdana menteri berkata, walaupun Islam menolak fahaman pluralisme namun ia mengiktiraf bahawa agama-agama lain juga mempunyai nilai yang boleh dilaksanakan.

“Isu-isu antara penganut agama perlu diselesaikan dengan seadil-adilnya, secara saksama dan dalam semangat saling hormat-menghormati terhadap lunas-lunas agama yang universal sifatnya,” kata beliau.

“Islam menolak fahaman pluralisme yang mendakwa bahawa semua agama adalah sama dan sama benar, walau bagaimanapun Islam mengiktiraf bahawa masih ada hakikat, kebenaran, kebaikan dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama lain.

“Sementara Islam melarang sikap yang menjadikan agama sebagai bahan ejekan dan bahan permainan, Islam juga sentiasa mengalu-alukan sikap jujur, saksama dan berintegriti,” kata beliau dalam ucapan perasmian Seminar al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah juga berkata penganut agama lain juga digalak melakukan amal kebajikan seperti mana yang dituntut dalam agama masing-masing.

“Perpaduan rakyat perlu dipupuk secara menggalakkan keunikan tradisi agama masing-masing sambil meneruskan sikap muhibah, saling berbelas kasihan dan saling berkasih sayang sebagai saudara sesama manusia yang berasal dari jiwa yang satu walaupun menganut agama yang berbeza.

“Para penganut pelbagai agama juga harus digalakkan berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan contohnya dalam bentuk membela golongan fakir miskin dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata ajaran Islam mengajar agar hak penganut agama lain juga harus dibela dengan seadil-adilnya.

“Selain sifat muhibah yang dipupuk agama Islam, juga menjadi tanggungjawab dalam agama kita ini sifat dan amalan berpegang teguh kepada janji baik yang telah dimeterai termasuk dengan penganut-penganut agama yang lain.

“Sejarah umat Islam menjadi saksi akan kepentingan menunaikan amanah dan berpegang pada janji bukan hanya sesama umat Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.

Sementara Nik Mustapha dalam sidang media selepas itu berkata, ulama dan pemikir Islam perlu menguasai suasana dan realiti semasa, khususnya dalam bidang sistem kewangan Islam di samping menguasai ilmu al-Quran.

“Kita mesti menguasai perjalanan sistem semasa, baru kita boleh mengeluarkan ijtihad dan mengeluarkan pandangan.

“Kita tidak boleh teknikal, mekanikal begitu (dengan merujuk) tulisan-tulisan (semata-mata),” katanya.

Beliau juga menekankan al-Quran perlu dijadikan panduan dan setiap tindakan yang dibuat harus mengikut keadaan semasa.

Tiada ulasan: