Sabtu, 2 Julai 2011

Isu dadah, keruntuhan moral, antara persoalan kalangan pemimpin Keningau

KENINGAU KINI

KENINGAU: Isu dadah, keruntuhan moral di kalangan remaja, pengambilan alkohol secara berlebihan, rokok haram dan pendatang tanpa izin (Pati), masih berada di tangga teratas sebagai isu yang menjadi tanda soal besar kalangan pemimpin masyarakat di daerah ini.

Kebimbangan itu diperturunkan ketika Majlis Perjumpaan / Dialog Mengenai Pencegahan Jenayah / Masalah Sosial dan Penyalahgunaan Dadah anjuran Polis Diraja Malaysia IPD Keningau, meletakkan polis berada dalam situasi ‘tertekan’.

Apakah puncanya? Ketua Polis Keningau DSP Zahari Mohamad berkata;

“Masih terdapat ruang untuk mencergaskan komitmen pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Pengerusi JKKK, Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri hatta Ketua Anak Negeri, dan ibu bapa di daerah ini.”.

Ketua polis itu memberitahu, masalah jenayah di daerah ini merupakan tanggungjawab bersama, dan bukan terletak di bahu pihak keselamatan semata-mata.

Ketua Daerah Keningau OKK Amir Datuk Arif sendiri mengakui bahawa terdapat di antara anak didiknya yang memerlukan pacuan, supaya lebih komited terhadap tanggungjawab khususnya mengenai usaha menangani pendatang Tanpa Izin (Pati), serta mengedaran rokok haram di daerah ini.

Pandangan itu dikongsi oleh Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Keningau, Sharulnizam Mohd Yatim, yang menegaskan pelanggaran undang-undang seperti memandu tanpa lessen dikalangan masyarakat, disebabkan kerapuhan kepercayaan masyarakat terhadap undang-undang.

Beliau mahu supaya pemimpin masyarakat memainkan peranan untuk menjelaskan kepada rakyat bawahan, bahawa pematuhan undang-undang harus dipatuhi selain aktiviti kesedaran perlu dibuat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, masalah tersebut boleh diatasi sekiranya semua pihak bersedia untuk berganding bahu untuk menangani kemelut tersebut.

Ketua Kampung Beriawa Laut, Mathew Kulumpang pula berpandangan, jalinan diantara polis dengan masyarakat perlu dicergaskan untuk memastikan dasar-dasar kerajaan itu benar-benar meresap ke akar umbi.

Mengeluh dengan sikap kurang sopan dikalangan anak-anak remaja, KK Sanip Asun dari Kota Ayangan meminta pihak keselamatan supaya meluaskan liputan pemantauan, supaya aktiviti merempit dikalangan anak-anak remaja di kampong itu ditangani.

Katanya, selain penduduk sendiri tercabar dengan aktiviti yang menganggu ketenteraman itu, kegiatan seperti itu merupakan tekenan besar kepada polis dan JPJ.

Seorang pengamal adat dari Kg. Agudon KK Latok Banihau membertitahu majlis dialog itu, bahawa masyarakat pada dasarnya telah memahami tanggungjawab polis, namun kerisauannya ialah kenapa jenayah masih terus berlaku. “dimana silap di sini,” jelasnya.

Majlis dialog itu turut menekankan bahawa polis tiak berkompromi dengan sesiapa yang didapati melakukan, atau melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang menyelahi undang-undang, sekalipun polis sendiri tidak gemar ‘menangkap orang’.

“Tanggungjawab polis ialah menjaga keamanan dan bukan menangkap orang semata-mata,” katanya dan menambah;

“Dalam hal penguatkuasaan undang-undang, polis harus menangkap mereka yang terlibat,”.

Beliau berkata, polis Keningau menjalankan operasi berterusan untuk menangani pelbagai aktiviti jenayah, termasuk melakukan pemeriksaan hampir setiap minggu ke atas setiap premis-premis hiburan yang beroperasi di bandar ini.

Zahari berkata, hubungan polis dengan Rela amat intim di daerah ini, selain kedua-dua agensi ini mempunyai kerjasama erat untuk menangani jenayah.

Kira-kira 60 pemimpin masyarakat menghadiri majlis dialog itu, yang turut disaksikan oleh pegawai JPN.

Kastam Diraja Malaysia Keningau dan Majlis Daerah Keningau tidak menghantar wakil ke majlis itu, menyaksikan banyak soalan daripada akar umbi gagal dijawab.

Tiada ulasan: