Sabtu, 9 Julai 2011

Himpunan Bersih: 19 termasuk ADUN PKR Krian ditahan di Sarawak

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING — Polis Sarawak Sabtu menahan 19 orang, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Ali Biju di Miri dan Bintulu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata seorang lelaki ditahan kerana memakai baju-T kuning yang bertulisan “Bersih” di Miri pada pukul 12 tengah hari.

Laporan Bernama Online menyebut di Bintulu, beliau berkata 18 orang termasuk Adun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ali dan Ketua Cawangan Bintulu PKR, Paul Raja ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, di sebuah kedai kopi di kawasan komersil Parkcity pada pukul 2.15 petang.

“Kesemua yang ditahan diambil keterangan. Seramai 17 daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala dua lagi terus ditahan polis.

“Dua lagi ditahan polis kerana memakai baju kemeja-T kuning bertulisan Bersih,” katanya.

Antara yang dibebaskan ialah Ali.

Di Kuching, keadaan tenang walaupun kira-kira 30 penyokong dan 12 ADUN DAP yang berbaju kemeja-T kuning berkumpul dan bersarapan di sebuah kedai kopi di Pusat Komersial Stutong di sini sejak pukul 8.30 pagi.

Sejam kemudian, 12 ADUN itu dibahagikan kepada empat kumpulan untuk mengadakan pendaftaran pengundi di pusat komersial BDC, King Centre, Tabuan Jaya dan Stutong.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong berkata tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan di sekitar bandar raya Kuching.

Tiada ulasan: