Jumaat, 22 Julai 2011

Firma media ‘diam-diam’ protes Putrajaya bentuk Majlis Perundingan Media


KUALA LUMPUR — Beberapa ketua organisasi media dijangka membantah cadangan Putrajaya yang mahu membentuk Majlis Perundingan Media (MCC) dengan tidak mempedulikan satu pertemuan bagi membincangkan terma rujukannya minggu depan.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menghantar surat kepada pelbagai organisasi, menjemput mereka hadir mesyuarat pertama di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, Isnin ini.

Bagaimanapun satu sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa daripada mereka sendiri menghadiri pertemuan itu, beberapa ketua media telah bersetuju untuk memperlihatkan protes dengan menghantar editor-editor junior sebagai wakil.

Difahamkan ketua-ketua berkenaan termasuk dari organisasi media yang dikawal oleh Barisan Nasional, bimbang majlis seumpama itu hanya akan mengenakan lebih banyak halangan ke atas kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut surat kementerian itu, MCC yang disyorkan akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anggotanya termasuklah wakil dari kerajaan, media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara yang dijemput agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News.

Kesemua akhbar perlu mendapatkan permit penerbitan tahunan manakala stesen siaran elektronik dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Blog House Malaysia telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institur Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah.

Portal berita atas talian seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today atau Merdeka Review sendiri tidak dijemput meskipun mereka mempunyai kad tauliah media dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Surat jemputan kementerian itu juga disertakan dengan kertas cadangan penubuhan MCC, yang memperincikan terma rujukan untuk dibincangkan pada pertemuan Isnin ini termasuk peranan, objektif, fungsi, keanggotaan dan aktivitinya.

Kertas cadangan itu menggariskan lima fungsi MCC, antara lain memperbaiki pengurusan dan perkongksian maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti komuniti dan membincangkan isu-isu semasa dan merangka pelan komunikasi untuk menangani mereka secara bersepadu dan teratur.

Tiada ulasan: