Rabu, 13 Julai 2011

Dua Warga Vietnam Dibunuh Kerana Enggan Tutup Lampu

TVS NEWS


HULU SELANGOR : Hanya kerana enggan menutup lampu ketika hendak tidur seorang lelaki warga Vietnam didakwa sanggup membunuh dua rakannya di sebuah rumah kedai yang terletak di Jalan Orkid tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, seorang lagi rakan mereka yang juga warga Vietnam mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat tindakan suspek yang memukul mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, pergaduhan di antara mereka bermula apabila seorang rakannya diarahkan untuk menutup lampu ketika hendak tidur bagaimanapun dia enggan melakukannya.

“Ekoran keengganan rakannya itu, suspek kemudian naik berang lalu tercetus pergaduhan di antara keempat-empat warga Vietnam terbabit menyebabkan dua daripadanya maut kerana ditikam menggunakan pisau.

“Mangsa pertama, 36, ditikam di perut sepanjang 5.5 sentimeter manakala mangsa kedua, 25, ditikam di dada dan seorang lagi hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, polis yang menerima panggilan kemudian menjejaki suspek yang melarikan diri selepas insiden pembunuhan itu.

“Polis akhirnya berjaya menahan suspek dan menemui pisau yang digunakannya selepas diberitahu lokasi senjata tersebut dibuang iaitu kira-kira 2 Kilometer dari rumah sewa mereka,” katanya.

Norel memberitahu, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 330 iaitu menyebabkan kecederaan.

Tiada ulasan: