Khamis, 7 Julai 2011

Darurat: PSM terus desak polis bebaskan aktivis

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia terus menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membebaskan enam aktivis parti itu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Gesaan itu dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Memorandum yang diterima Ketua Unit Radio dan TV Cawangan Polis Bukit Aman, ASP Mohd Fadzil Ismail itu turut menuntut pihak polis membenarkan akses untuk peguam dan keluarga serta menjamin keselamatan mereka yang ditahan semasa dalam tahanan.

Dalam pada itu, PSM mendakwa mereka telah dikambing hitam bagi menakut-nakutkan rakyat agar tidak menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Pengerusinya, Dr Mohd Nasir Hashim yang terkilan dan kecewa dengan penahanan itu berkata, segala usaha menggagalkan Bersih dilihat tidak berjaya sehingga kerajaan terpaksa menggunakan kekerasan.

"Kami diperkudakan untuk membatalkan bersih. Segala pertuduhan ke atas mereka diubah-ubah.

"Segala tuduhan yang dibuat dan disiarkan melalui media kerajaan memang sengaja untuk mematikan perjuangan kami yang membela rakyat marhaen," katanya.

Beliau juga mendakwa penahanan di bawah Ordinan Darurat itu tidak ubah seperti ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Bila saya mendengar cara soal siasat, sama seperti tahanan ISA kerana saya ialah mangsa ISA.

"Kerana kerajaan takut nak gunakan ISA, mereka kaburkan mata rakyat dengan menggunakan Ordinan Darurat.

"Cara penahanan, bagaimana mereka digari, mata ditutup sehingga tak tahu berada di mana sama seperti ketika ditahan di bawah ISA," katanya yang juga Adun Kota Damansara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PAS mengutuk keras penahanan itu yang bercanggah dengan hak dan kebebasan rakyat.

Aktivis PSM, katanya berhak melakukan aktiviti mereka kerana parti itu berdaftar dan sah mengikut perlembagaan.

"Dari awal kita mengutuk penahanan ini yang merupakan satu tindakan pengecut kerajaan.

"Kenapa guna Ordinan Darurat ke atas aktivis masyarakat yang memperjuangkan nasib rakyat marhaen?

"PSM parti berdaftar dan polis jangan jadi alat kerajaan untuk bertindak sesuka hati. Kalau bersalah bawak ke muka pengadilan dan buktikan mereka memang terlibat dalam komunis," katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Enam yang ditahan itu ialah ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar, M. Saraswathy, M. Sukuraman, A. Letchumanan, Choo Chon Kai dan R. Sarat Babu.

Mereka ditahan pada 25 Jun lalu di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang sewaktu menjalankan kempen parti itu, "Udahlah...Bersaralah" dan dituduh di bawah seksyen 122 kanun keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Turut bersama memberikan sokongan dalam serahan memorandum tadi ialah setiausha PSM, S. Arutchelvan, ketua penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, pengerusi Parti Rakyat Malaysia, Suhanah Ariffin dan pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan (LLG), Lim Lian Geoh dan bendahari GMI, Nashita Mohd Nor bersama kira-kira 20 wakil NGO.

Tiada ulasan: