Rabu, 20 Julai 2011

CEO Scomi Shah Hakim bebas sekatan AS



KUALA LUMPUR — Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menarik balik sekatan yang dikenakan sejak awal 2009 ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scomi Berhad Shah Hakim Zain kerana kononnya terbabit dengan jaringan pemerolehan peralatan nuklear.

Dalam kenyataan yang dihantar kepada Bursa Malaysia hari ini, Kumpulan Scomi berkata sekatan itu ditarik balik berkuat kuasa semalam.

“Syarikat (Kumpulan Scomi) mahu memaklumkan bahawa Jabatan Negara AS telah menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Shah Hakim Zain, berkuat kuasa mulai 18 Julai 2011,” kata kenyataan bertarikh hari ini.

Satu kenyataan awal 2009 menyebut bahawa sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Shah Hakim bersifat peribadi dan tidak melibatkan syarikat.

Laporan media ketika itu menyebut bahawa Shah Hakim dan 12 yang lain dikenakan sekatan kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan komponen berkaitan nuklear.

Laporan itu turut menyebut sekatan tersebut mengakibatkan mereka yang terlibat tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Selain itu segala aset dan dana yang dimiliki mereka di Amerika Syarikat dibekukan.

Malah ketika itu, Scomi menjelaskan, Shah Hakim tidak pernah menjalani siasatan lanjut berhubung dakwaan penglibatan rangkaian percambahan nuklear selepas siasatan pihak polis, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dan pihak berkuasa lain pada 2004.

Tiada ulasan: