Rabu, 13 Julai 2011

Bersih 2.0: Pemuda PAS mahu Suhakam arah KDN, polis minta maaf


KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS mengemukakan empat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia melibatkan polis ketika menangani Himpunan Bersih 2.0 dan mahu Kementerian Dalam Menteri meminta maaf secara terbuka.

“Kami mahu Kementerian Dalam Negeri dan polis mintaa maaf secara terbuka ekoran keganasan dan kekerasan yang dilakukan semasa perhimpunan itu.

“Kita mempunyai bukti pihak keselamatan telah melakukan keganasan dan kekerasan ke atas peserta perhimpunan, kita ada rakaman video dan gambar bagi menjelaskan apa yang berlaku,” kata ketuanya Nasrudin Hasan (gambar) pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam.

Tegas beliau, walaupun polis memohon maaf, namun tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap pentadbiran Najib.

“Ya, kalau mereka minta maaf pun kita akan tetap ambil tindakan undang-undang kerana apa yang mereka lakukan ini amat bertentangan dengan hak asasi manusia, mereka sepatutnya menjadi pengamal keselamatan, bukan penggugat keselamatan,” katanya.

Menurut Dewan Pemuda PAS, empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan ialah tahap keganasan tidak munasabah, peguam dihalang akses kepada peserta perhimpunan ditahan, soal kebebasan beragama dan usaha menghalang perhimpunan aman yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Penggunaan kekerasan yang tidak munasabah telah dilakukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terhadap peserta perhimpunan aman bercanggah dengan kebebasan berhimpun seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Malah, kami sebagai peguam dihalang untuk akses kepada peserta yang ditangkap dan ia sangat jelas bertentangan dengan undang-undang yang mana sesiapa yang ditangkap sepatutnya berhak tahu kesalahan mereka dan boleh akses kepada peguam.

“Malah pelanggaran yang ketiga adalah kebebasan beragama yang mana dua masjid utama iaitu Masjid Negara dan Masjid Jamek telah dikunci oleh polis menyebabkan peserta perhimpunan terpaksa menunaikan solat di bawah pokok dan atas jalan, yang keempat adalah pelanggaran terhadap perhimpunan aman itu sendiri yang mana ia sangat bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan,” kata Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS pusat Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi kepada Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee.

Justeru tegas beliau, ekoran keganasan yang dilakukan pihak keselamatan itu pihaknya mahu agar Suhakam menubuhkan panel penyiasat untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa yang dilakukan pada Himpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Tiada ulasan: