Selasa, 19 Julai 2011

Bekas staf Alcatel didakwa sogok pegawai TM RM25,000

TERKINI

KUALA LUMPUR— Skandal rasuah melibatkan Alcatel-Lucent menyaksikan seorang bekas pekerjanya didakwa memberi sogokan RM25,000 kepada seorang pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) lima tahun lalu.


Radziah Ani meninggalkan kawasan Mahkamah Sesyen dengan menutup wajahnya pagi tadi. — Foto oleh Choo Choy May
Radziah Ani, bekas ketua akaun pelanggan serantau Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd, dikenakan tuduhan menyogok penolong pengurus TM Mohd Asri Idris pada 17 Februari 2006 untuk mendapatkan maklumat mengenai tender perkhidmatan mudah alih 3G Celcom Malaysia.

Celcom merupakan anak syarikat TM ketika itu.

Radziah mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibawa pagi ini.

Disember lalu, Alcatel-Lucent mengaku telah membuat bayaran bagi mendapatkan maklumat “marketing report and studies” dan “strategic intelligence report on Celcom’s positioning in the cellular industry”.

Maklumat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat ketika itu juga menunjukkan dua perunding dari Malaysia telah dibayar AS$700,000 (RM2.1 juta) bagi mendapatkan “maklumat bukan awam” berhubung aspek harga dan bidaan pesaing-pesaing.

Sumber syarikat memberitahu, Alcatel memperoleh kontrak untuk membekalkan kelengkapan perkhidmatan 3G meskipun ia tiada pengalaman dalam sektor tersebut.

Kelengkapan itu kemudian dibatalkan.

Difahamkan, ada banyak lagi kes pelanggaran peraturan dalam TM membabitkan pemerolehan daripada Alcatel yang tidak disiasat oleh SEC.

Laporan Disember lalu juga menyebut, Alcatel bersetuju untuk membayar lebih AS$137 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan AS bahawa ia membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai asing untuk memperoleh bisnes di Amerika Selatan dan Asia.

Pengeluar kelengkapan telekomunikasi itu dituduh membuat bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia untuk memperoleh kontrak atau mengekalkan kontrak-kontrak yang diperoleh, melibatkan nilai berjuta dolar, kata SEC dan Jabatan Kehakiman AS.

Antara Disember 2001 dan Jun 2006, syarikat itu menggunakan khidmat perunding yang menyalurkan lebih AS$8 juta untuk membayar rasuah kepada pegawai-pegawai terbabit.

Radziah, 49, yang kini merupakan timbalan pengurus negara bagi ZTE Corporation, dituduh di bawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dia dituduh memberi suapan dalam bentuk sekeping cek bernilai RM25,000 kepada penolong pengurus Bahagian Perolehan itu.

Suapan tersebut adalah sebagai upah bagi pembekalan maklumat tender “Wideband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and The Provision of Works Phase II”.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 17 Februari 2006 antara pukul 1 tengah hari dan 2.30 petang di Hotel Shangri-La di sini.

Kes itu akan disebut semula 12 Ogos ini dan juga 17 hingga 27 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Pertuduhan dilakukan di hadapan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah manakala tertuduh diwakili Datuk Salehuddin Saidin.

Jika sabit kesalahan, Radziah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang tinggi.

Tiada ulasan: