Sabtu, 16 Julai 2011

67,000 tiket Malaysia temu Liverpool sudah dijual

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Jualan tiket bagi baki dua perlawanan persahabatan membabitkan dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Malaysia, amat memberangsangkan, kata penganjur ProEvents International.

“Sambutan daripada peminat amat baik,” kata Pengarah Urusan ProEvents San Boon Wah dipetik Bernama.

Laporan media memetik Bernama berkata San mendedahkan bagi perlawanan membabitkan Liverpool esok, kira-kira 67,000 tiket sudah dijual setakat ini.

“Jumlah itu lebih tinggi daripada perlawanan Manchester United (Jelajah Asia) pada 2009.

“Antara sebab utama kenapa perlawanan Liverpool mendapat sambutan hangat ialah kerana pasukan itu beraksi buat pertama kali di Malaysia,” katanya.

Bagi perlawanan Chelsea pada 21 Julai di Stadium Nasional di Bukit Jalil, sebanyak 45,000 tiket sudah dijual setakat ini, katanya.

“Tiket bagi kedua-dua perlawanan masih ada,” katanya dan menurutnya 83,000 keping tiket dicetak bagi setiap perlawanan.

Perlawanan antara Liverpool FC dan Harimau Malaya akan bermula pada 5.45 petang esok, manakala perlawanan Chelsea-Harimau Muda akan bermula pada 8.45 malam, 21 Julai.

Tiada ulasan: