Jumaat, 15 Julai 2011

3 ahli parlimen dibenar melawat Dr. Jeyakumar

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Selepas dihalang melawat di hospital kelmarin, pemimpin Pakatan Rakyat akhirnya dibenar melawat ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Bagaimanapun hanya tiga orang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini yang memberitahu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran kepada tiga orang ahli parlimen untuk melawat Dr Jeyakumar yang berada di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia.

Mereka adalah Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang (DAP), Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub (PAS) dan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa (PKR).

"Saya telah mengemukakan permohonan kepada Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar untuk melawat YB Dr Micheal Jeyakumar pada 12 Julai 2011, beliau membalas surat pada 13 Julai 2011 dan memberitahu bahawa YB Dr Micheal Jeyakumar telah pun keluar daripada Institut Jantung Negara pada 13 Julai 2011 jam 2.30 petang.

"Dalam suratnya, Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar juga mengatakan bahawa pihak polis membenarkan lawatan ke atas YB Dr Micheal Jeyakumar pada 15 Julai 2011(Jumaat) jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman. Walau Bagaimanapun lawatan ini terhad kepada tiga orang Ahli Parlimen sahaja," katanya.

Kelmarin lapan ahli parlimen dan senator Pakatan Rakyat dihalang polis daripada melawat Dr. Jeyakumar di Pusat Jantung Negara (IJN).

Mereka yang dilarang itu adalah – Tian Chua (Batu), R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Pantai Dalam) M Manogaran (Teluk Intan),
Khalid Samad (Shah Alam), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Fong Po Kuan (Batu Gajah) – dan senator S Ramakrishnan.

Difahamkan IJN tidak membenarkan perjumpaan itu dengan alasan ia arahan pihak polis.

Jeyakumar dan lima yang lain dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebelum ini ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Beliau dibawa ke IJN Sabtu lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari selepas mengadu sakit dada.

Beliau bersama 29 ahli PSM yang lain ditangkap pada 26 Jun ketika dalam perjalanan menghadiri program parti itu ‘Udah La Tu… Bersaralah’.

Tiada ulasan: