Khamis, 16 Jun 2011

Yayasan Selangor alami kerugian akibat sikap lewa Umno

KEADILAN DAILY

PETALING JAYA: Yayasan Selangor mengalami kerugian dari tahun 1993 hingga 2008 kerana beberapa projek diuruskan tanpa kebertanggungjawaban oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pada waktu itu.

Demikian pendedahan dibuat Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, di sini hari ini.

“Ketirisan aset Selangor selama 1993 hingga 2008, kita dapat lihat ada beberapa projek di bawah pentadbiran Khir Toyo yang tidak ada kebertanggungjawaban, tidak ada komitmen bagi memastikan ia dilaksanakan dan dapat dijadikan tabung kepada Selangor untuk membantu rakyat miskin.

“Kita lihat semasa Umno memerintah, Yayasan Selangor dijadikan ‘poket’ untuk Umno BN,” kata Zuraida.

Kata beliau, lebih kurang 15 projek didedahkan berlaku ketirisan dalam aset Selangor semenjak 1993 hingga 2008.

“Ketirisan aset Selangor selama 1993 hingga 2008, kita dapat lihat ada beberapa projek di bawah pentadbiran Khir Toyo yang tidak ada kebertanggungjawaban, tidak ada komitmen bagi memastikan semua projek-projek dilaksanakan dapat dijadikan tabung kepada Selangor untuk membantu rakyat miskin.

“Contohnya, pembangunan tanah di Jalan Lapangan Terbang Subang seluas 31.8 ekar. Kontrak ini diberikan kepada Puncak Dana Sdn Bhd, anggarannya RM987 juta tapi semasa Umno memerintah mereka hanya pungut RM 127 juta, selebihnya dibiarkan sahaja dan mereka laporkan sebagai projek tergendala, terbengkalai dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Palimen Ampang.

“BN Umno semasa menguruskan Yayasan Selangor, mereka menguruskan dengan sikap tidak bertanggungjawab sambil lewa, tidak ada amanah dalam melaksanakan tugas mereka untuk membantu rakyat negeri Selangor,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kata-katanya kononnya pentadbiran beliau sentiasa telus dan mengutamakan kebajikan rakyat.

“Maka pada hari ini, saya menggesa agar Perdana Menteri membuktikan kata-katanya supaya segera mengesan semula RM594 juta dan 50 unit kondominium milikan Yayasan Selangor yang ‘hilang’ sewaktu pentadbiran Umno Selangor sepanjang 1991 hingga Mac 2008.

“Sebanyak 15 projek dan 10 syarikat dikenal pasti sebagai punca ketirisan mega ini berlaku. Antara nama-nama terlibat termasuklah Dr. Khir Toyo, Tuan Haji Takril Tasuki (Pengarah Besar Yayasan Selangor), Puncak Dana Sdn Bhd, Secure Parking Sdn Bhd, SAP Ulu Yam Sdn Bhd, Persada Istimewa Sdn Bhd, Aviation Development Corporation Sdn Bhd, Fajar Melati Sdn Bhd, Melawangi Sdn Bhd, Swasta Setia Sdn Bhd, Abinas Enterprise dan Kreatif Rakyat Sdn Bhd,” kata beliau.

Selain itu, beliau menegaskan kehilangan sejumlah wang itu serius kerana melibatkan dana awam dan beliau mendesak pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kehilangan RM594 juta ini adalah suatu yang amat serius kerana ianya melibatkan dana awam dan wang pembayar cukai rakyat di negeri Selangor. Pihak yang bertanggungjawb harus segera dibawa ke muka pengadilan. Wang rakyat harus segera dikembalikan.

“Maka, andai benar Perdana Menteri mahu membantu rakyat seperti yang didakwanya, saya menggesa agar beliau bersedia menggunakan kuasanya, walau dengan apa cara sekalipun, supaya RM594 juta dan 50 unit kondominium milik Yayasan Selangor dapat dikembalikan semula, seterusnya dapat diagihkan untuk program pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya di Selangor,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan banyak perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah oleh Yayasan Selangor sehingga membawa kepada defisit RM7.41 juta.

Kata Khalid, perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor sehingga November 2010, defisit RM7.41 juta.

Ekoran itu, katanya, surat tunjuk sebab bertarikh 5 Januari 2011 dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap masalah yang timbul mengikut pandangan dan saranan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja mengamal perbelanjaan berjimat cermat, malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.

Tiada ulasan: