Ahad, 19 Jun 2011

Wanita terpengaruh ramalan nombor ekor tok guru rugi RM14,490

KENINGAU KINI


KENINGAU: Seorang wanita kerugian RM14,490 selepas dipengaruhi oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai tok guru dengan ramalan nombor ekor.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed berkata, pada 14 Jun lebih kurang jam 9.15 pagi wanita yang dalam lingkungan umur 50an itu telah membuat laporan polis setelah menyedari tertipu dengan kegiatan tok guru itu.

Katanya, menurut aduan wanita itu, pada bulan Mei lepas lebih kurang jam 5.00 petang di salah sebuah Taman Perumahan di daerah ini, pengadu telah mengambil satu risalah berkaitan ramalan nombor ekor yang terselit pada pintu pagar rumahnya.

“Setelah mendapat risalah itu pengadu telah menghubungi nombor telefon yang tertulis pada risalah berkenaan iaitu 016-4039304 dan 012-4357341,” kata Zahari kepada kepada media di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD di sini kelmarin.

Jelas Zahari, setelah pengadu menelefon nombor tersebut terdapat seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai tok guru yang meminta pengadu memberikan nama penuh, tarikh lahir dan alamat pengadu melalui SMS, kemudian tok guru akan menghantar nombor ramalan ke alamat pengadu.

Kemudian kata Zahari, pada 18 Mei tahun ini pengadu telah menerima nombor yang dijanjikan iaitu 3966 melalui Pos Malaysia Keningau tetapi nombor yang diterima pengadu tidak sempat dibeli oleh pengadu kerana keputusan nombor itu sudah pun keluar.

“Selepas itu tok guru telah menghubungi pengadu untuk bertanyakan tentang nombor itu dan tok guru memarahi pengadu atas kelewatan membeli nombor berkenaan, kemudian tok guru menawarkan lagi kepada pengadu supaya mencuba nasib sekali lagi dan memberi nombor ramalan 2368 kepada pengadu dengan cara yang sama,” kata Zahari.

Tetapi sebelum itu untuk menjadikan nasib pengadu supaya lebih baik, pengadu diarah oleh suspek memasukkan wang dalam akaun BSN tok guru atas nama Lim Shyang Wah nombor 0211041000027344 untuk membeli lilin berbentuk nanas untuk dibakar bagi menyalakan nasib pengadu supaya lebih baik.

Akibat terpengaruh dengan kata-kata tok guru kata Zahari, pengadu telah memasukkan wang secara berperingkat ke akaun Tok Guru pada 25 Mei 2011 berjumlah RM 3,000 pada 26 Mei 2011 berjumlah RM980 dan pada 8 Jun 2011 berjumlah RM2,500, pada 9 Jun 2011 berjumlah RM4,030, pada 10 Jun 2011 berjumlah RM 1,980 dan pada 11 Jun 2011 berjumlah RM2,500 bagi membeli lilin.

Zahari memberitahu, jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan oleh pengadu dalam akaun Tok Guru berjumlah RM 14,490.

Katanya, Selepas merasa ragu dan rasa tertipu terhadap perkara ini, pengadu telah membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati, pengadu tidak pernah berjumpa dengan suspek dan hanya berurusan melalui telefon sahaja dan kesemua resit deposit wang yang menunjukkan transaksi wang yang dimasukkan dalam akaun Lim Shyang Wah telah hilang dari simpanan pengadu serta tiada saksi yang mengetahui urusan yang dibuat oleh pengadu dengan suspek,” jelas Zahari.

Walau bagaimanapun katanya, siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: