Isnin, 6 Jun 2011

Utusan cuba lagakan 3 dewan PAS - Zailah

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang mengandaikan mereka tidak mengiktiraf kepimpinan Dewan Ulama.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sebaliknya berkata, DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama yang merupakan pemantau segala dasar dan perancangan dalaman parti.

Beliau berkata, Utusan Malaysia hanya berniat melaga-lagakan keakraban ketiga-tiga dewan dalam PAS.

"DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama dan kesal dengan laporan media yang kata muslimat tidak mengiktiraf Dewan Ulama.

"Ini satu propaganda yang dibuat media untuk melaga-lagakan dalaman parti dan menampakkan tiada kesepakatan di antara dewan-dewan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan pengangguhan di Muktamar PAS kali ke- 57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan DMPP mendakwa kepimpinan ulama yang tidak agresif menjadi punca utama golongan tersebut diganti dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berharap persepsi tersebut diperbetul segera.

Sementara itu, beliau mengemukakan gagasan untuk memartabatkan kemuliaan golongan wanita di negara ini.

"DMPP kemukakan gagasan sebagai tawaran kepada wanita di negara kita iaitu gagasan untuk memartabatkan kemuliaan wanita di Malaysia.

"Kita ingin lahirkan muslimat yang bukan sahaja berperanan dalam rumahtangga, dalam kerjaya tapi nak melahirkan wanita yang menjadi pemimpin yang bertakwa seharusnya berbeza dengan wanita Umno yang hanya nak memperkasa dari sudut wanita tanpa tekankan ketinggian moral," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Selain itu beliau turut menyeru semua ahli menjalinkan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat.

"Saya menyeru semua ahli parti untuk mengadakan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat dan supaya perancangan dan strategi bersesuaian dengan lokaliti dan muafakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan parti," katanya.

Tiada ulasan: