Rabu, 22 Jun 2011

Usul bincang web kerajaan kena godam ditolak

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) bagi membincangkan isu beberapa laman web kerajaan yang digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) itu atas alasan ianya tidak perlu disegerakan.

"Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa bagi persoalan sama ada ia perkara tertentu, perkara ini pada pendapat saya adalah tertentu, sama ada ianya berkepentingan orang ramai, pada saya ia berkepentingan orang ramai, sama ada ianya berkehendakkan disegerakan, pendapat saya ialah perkara ini tidak perlu disegerakan," katanya.

Dalam usulnya sebelum itu, Salahuddin membawa hujah sehingga ke hari ini, dilaporkan sudah hampir 51 laman web rasmi telah digodam selepas satu kumpulan bergelar anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam menganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Beliau melahirkan kebimbangan serangan DDos (Distributed Denial-of-Service) itu juga boleh memberi kesan besar sekiranya penggodam mensasarkan sektor keselamatan dan perbankan negara.

"Perkara ini suatu yang amat serius dalam negara berdepan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan kemudahan tanpa sempadan ini bagi tujuan yang amat memalukan negara dan menggugat keselamatan negara," katanya.

Tiada ulasan: