Sabtu, 4 Jun 2011

Ucapan dasar sesuai keperluan rakyat kini

Ismail Hashim


GOMBAK: Kekuatan ucapan dasar Presiden PAS terus diperkatakan kerana tema Membangunkan Negara Berkebajikan cukup tepat diketengahkan mutakhir ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ir Iskandar Samad berkata, konsep itu amat sesuai sekarang dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kerajaan BN yang tidak prihatin pada kebajikan rakyat.

Menurutnya, ekoran sikap tidak prihatin kerajaan itu kini, rakyat dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Kerajaan seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dengan apa yang sedang menimpa rakyat," tegasnya ketika ditemui pada tengahari.

Ucapan dasar disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi tadi bagi memulakan Muktamar Tahunan PAS ke 57 di sini.

Muktamar berlangsung di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor bertempat di Kolej Universiti Islam Zukifli Mohamad, Taman Melewar.

Ribuan perwakilan dari seluruh negara membanjiri dewan dengan segak bergaya berpakaian Melayu dengan bersampin beraneka warna termasuk pemerhati.

Kalangan Muslimat juga hadir anggun dengan pakaian seragam berwarna yang digalakkan, begitu pula golongan muda yang tampil perkasa.

Iskandar (gambar) adalah Exco Selangor yang menjaga portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor di masa sama sebagai Adun Chempaka dan YDP PAS Kawasan Pandan.

Beliau berkata lagi, melihatkan kepada keperluan memberikan khidmat kepada rakyat, konsep negara berkebajikan itu perlu diperincikan sebaiknya.

"Adakah ia semata-mata di mana segala-galanya percuma? Atau sebuah negara yang menjamin kekayaan negara diagih-agihkan dengan adil dan sama rata? Perkara ini perlu diperjelaskan terlebih dahulu.

"Sebenarnya bukan segala-galanya percuma tetapi lebih kepada memperkasakan rakyat supaya dapat memajukan diri mereka sendiri.

"Berikan joran bukan ikan. Beri ikan mereka dapat makan untuk satu hari. Kalau beri joran mereka dapat makan seumur hidup," tegasnya.

Meski dilihat komen beliau seperti berfalsafah namun berpengalaman melaksanakan idea ini sepanjang tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah Selangor selepas menumbangkan BN sejak 8 Mac 2008.

Menurutnya, apa yang berlaku di Selangor pada mulanya ramai yang salah anggap bahawa negara berkebajikan bermakna segala-galanya percuma.

Tetapi sekarang, ujarnya, setelah adanya skim-skim untuk rakyat yang mereka sudah dapat menilai dan menyertainya untuk membantu diri mereka sendiri.

Sebagai contoh skim pinjaman Mimbar dan Skimsel untuk membantu rakyat miskin menjadi usahawan dan keluar dari kepompong kemiskinan yang sudah mendatangkan manfaat, tambahnya.

Kekuatan ucapan dasar bertemakan Membangun Negara Berkebajikan yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi tadi terus mendapat perhatian.

Bagi Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Negara Berkebajikan adalah perkara yang amat wajar dititikberatkan kerana ia tanggungjawab dan kebajikan yang sepatutnya kerajaan kembalikan kepada rakyat yang berhak menerimanya.

Beliau berkata, kebajikan antaranya dalam konteks memperbanyakkan hasil negeri dan kemudian kembalikannya kepada rakyat sebagai kebajikan.

Amiruddin yang juga Adun Anak Bukit berkata, dalam negara kebajikan ini juga, rakyat awam secara umumnya turut diberi perhatian dalam perkara-perkara asas hidup.

Katanya, sebagai contoh utiliti seperti tenaga elektrik dan bekalan air, perlu dipastikan ia tidak dan menjadi keuntungan sekelompok rakyat sahaja tetapi membebankan rakyat terbanyak.

Dalam hal ini, tegasnya, jika sudah ada perjanjian, ia wajib dikaji semula supaya ia tidak menjadi sesuatu yang didagangkan dan akhirnya menguntungkan sebelah pihak tetapi yang lainnya teruk terbeban.

Amiruddin (gambar) menyebutkan contoh seperti perjanjian IPP untuk elektrik dan sebagainya yang seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam perkara-perkara sedemikian.

Katanya, di sinilah bezanya PAS atau Pakatan Rakyat perlu melihat isu-isu asas ini supaya ia tidak diperdagangkan oleh golongan kapitalis padahal seharusnya ia menjadi tanggungjawab kerajaan.

"Begitu juga dalam kes tol. Tidak masuk akal semakin tahun ia semakin dinaikkan sedangkan sepatutnya bayaran kepada konsesi semakin berkurangan.

"Apa yang berlaku selalunya lebuhraya dijadikan oleh pihak-pihak tertentu untuk 'buat duit' dalam masa yang sama mereka tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan negeri kerana kerajaan negeri tidak beri title untuk tanah yang digunakan kemudahan awam.

"Kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa padahal pihak berkaitan memperdagangkan kemudahan awam tersebut," jelasnya.

Beliau menyatakan di Kedah, lebuh raya ini dahulu adalah kawasan bendang yang produktif dan hasilnya dimiliki sendiri oleh rakyat dan mereka juga membayar cukai kepada kerajaan negeri.

Tetapi apabila dijadikan lebuh raya, kerajaan negeri tidak dapat mengutip sebarang cukai daripada Pusat, tiada lagi perkongsian hasil daripada tanah tersebut untuk diagihkan kembali bagi kebajikan rakyat, jelasnya.

Bila ini berlaku slogan Tradisi Membela Rakyat dan Rakyat Diutamakan adalah sekadar retorik semata. tegasnya, perkara ini perlu dilihat kembali supaya apa yang dilakukan akhirnya dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Sebelum itu, beliau menyebut contoh di Kelantan pemberian Kifalah yang mana semua warga emas tidak kira dari bangsa apa sekalipun dalam kategori miskin diberi bantuan kepada keluarganya bila berlaku kematian.

"Kita juga pastikan golongan yang perlu dibela dalam masyarakat, contohnya anak yatim, ibu tunggal, yang mana golongan ini perlu diberi perlindungan dan bantuan," jelasnya.

Bagi Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah pula, beliau melihat dari sudut pentingnya petugas mempertingkatkan usaha memenangi pilihan raya depan.

Katanya, ucapan dasar ini jika dilaksanakan semaksimanya mampu mengubah landskap politik tanah air satu hari nanti.

Sewajarnya, kata beliau, ucapan ini perlu menjadi perhatian istimewa kepada petugas PAS untuk mengerakkan jentera pilihan raya menghadapi PRU13.

"Saya anggap satu lonjakan untuk bergerak bagi pilihan raya yang berupa arahan presiden yang jelas dalam muktamar kali ini.

"Begitu juga dengan beberapa pengarahan lain kepada Pemuda dan Muslimat perlu diberikan perhatian paling wajar," tegasnya yang juga Adun Titi Serong, Perak.

Baginya, ucapan presiden ini menggambarkan hasrat PAS untuk menjadi tulang belakang kepada usaha jelas menuju negara berkebajikan.

Ahli PAS di semua peringkat, tambahnya, tidak perlu lagi menunggu program munaqasyah kerana penegasan di dalam mutamar ini sudah berupa arahan yang perlu disegerakan.

"Bila sudah ada arahan, kita anggap ini penting. Jentera kena bergerak sekarang. Perwakilan sebaik pulang perlu segerakan usaha banykkan program ke arah menghadapi pilihan raya yang bakal tiba," tegasnya.

Tiada ulasan: