Isnin, 6 Jun 2011

TPM kenalpasti masalah penduduk KL

BERNAMA


Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan program turun padangnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan bersarapan pagi 1Malaysia bersama lebih 2,000 penduduk dan anggota NGO parlimen Batu, di Kuala Lumpur walaupun hujan lebat awal pagi tadi.

Timbalan perdana menteri yang tiba di Taman Billion Mewah pada pukul 8.30 pagi bersama isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Semasa berucap pada majlis tersebut, Muhyiddin berkata hubungan NGO dan kerajaan perlu sentiasa erat bagi memastikan masalah rakyat dapat disampaikan kepada kerajaan untuk diselesaikan.

Selain itu, NGO juga mesti memahami segala dasar kerajaan yang ada supaya apabila berdepan dengan orang ramai mereka dapat memahami masalah tersebut dan membawanya kepada kerajaan untuk diberi perhatian segera, katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan BN sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya kerana pilihan raya.

"Kita bekerja untuk sepanjang masa kerana selagi ada rakyat yang kita perlu bela nasib mereka, maka selagi itulah kita bekerja untuk memperbaiki kehidupan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai kawasan Batu, Muhyiddin berkata antara masalah yang dikenal pasti antaranya ialah masalah melibatkan penjaja, pemandu teksi dan mereka yang bekerja sendiri serta kemudahan yang diperlukan rakyat.

Masalah tersebut perlu diselesaikan oleh agensi kerajaan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), katanya.

"Saya yakin banyak program telah pun dibuat untuk menyelesaikan masalah rakyat, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan hidup mereka lebih selesa lagi pada masa sekarang, apa lagi pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM159,500 kepada empat orang yang terdiri daripada empat kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Sikh bagi mewakili 225 NGO di kawasan itu.

Ia adalah untuk digunakan antaranya bagi mengatasi beberapa keperluan tempat ibadat penduduk kawasan tersebut termasuk masjid dan surau serta tokong dan kuil.

Muhyiddin dan isteri pada majlis perjumpaan itu turut membantu menyediakan roti canai untuk dijamu kepada para hadirin.


Tiada ulasan: