Selasa, 28 Jun 2011

Teras: Tindakan polis siasat Samad Said keterlaluan

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR, — Teras Keupayaan Melayu (Teras) kesal dengan tindakan polis apabila Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said turut diheret di bawah Akta Hasutan, berkaitan dengan perhimpunan 9 Julai anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Pada majlis tersebut A. Samad Said (gambar) menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih” di ibu negara 19 Jun lalu.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid berkata, beliau kesal dengan tindakan polis yang menyiasat Sasterawan Negara itu semata-mata kerana membaca puisi sahaja.

“Saya kesal polis menyiasat beliau atas puisi yang dibacanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan semalam, A Samad Said dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

Jelas Azmi, pihak polis nampaknya beria-ia untuk menghalang Bersih 2.0 sehingga tokoh yang dihormati rakyat menjadi mangsa untuk disiasat hanya kerana puisi .

“Adakah ini menunjukkan pihak berkuasa sekarang sudah menganggap puisi yang murni dan bersifat teguran dan menyatakan kebenaran itu termasuk suatu kesalahan yang boleh mengancam negara?” katanya.

Dalam pada itu, Azmi beranggapan tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan sebagai suatu yang agak keterlaluan.

“Sasterawan negara itu terkenal sebagai seorang yang mampu mengungkap realiti dengan kata-kata yang sangat indah dan tepat pada makna dan kandungan untuk masyarakat tahu erti nilai murni seperti menegakkan kebenaran dan keadilan. Niat beliau juga adalah untuk meluruskan keadaan yang dilihatnya sebagai pincang.

“Ini termasuk soal pemerintahan dan hak demokrasi yang perlu diperbetulkan,” ujarnya.

Azmi tegas berkata, pihak plis perlu belajar bahasa sastera sebelum menganggap puisi Samad Said sebagai ancaman dan hasutan.

Katanya, mereka perlu jujur melihat mesej Sasterawan Negara itu dengan niat menghargai dan bukan mencurigai.

“Namun begitu, kami mendokong semangat beliau yang nampaknya tidak gentar dengan tekanan yang dianggap polis boleh menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu, beliau juga berasa kesal apabila turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya.

Tiada ulasan: