Ahad, 19 Jun 2011

Syarat baru ‘pelik’ Bank Negara gugat firma Abu Dhabi beli RHB

TERKINI

KUALA LUMPUR — Beberapa syarat baru dikenakan Bank Negara didakwa mengancam urusan penjualan 25 peratus pegangan bernilai RM5.9 bilion dalam RHB Capital Bhd oleh dua firma Abu Dhabi, termasuk keperluan bahawa pemegang baru mesti menyokong kemungkinan penggabungannya dengan sebuah lagi bank Malaysia.

Kedua-dua syarat yang mengejutkan itu memerlukan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB) dan pemegang saham baru RHB dana pelaburan Abu Dhabi, Aabar Investments agar bertolak ansur jika harga jualan lebih rendah daripada harga penggabungan RM10.80 sesaham yang telah dipersetujui kedua-dua syarikat dan penggabungan tidak seharusnya terlalu menyimpang daripada harga pasaran agar ia tidak melemahkan urusan penggabungan kedua-dua entiti terbabit.

The Malaysian Insider difahamkan selepas urusan itu dimeterai Jumaat lalu, Bank Negara telah menghantar siri e-mel yang keras kandungannya kepada ADCB, memaklumkan pihak berkenaan mengenai syarat-syarat dikenakan oleh bank pusat yang akan dimasukkan ke dalam kenyataan media, yang menurut beberapa pihak dalam industri bank, ia satu bentuk tindakan agresif dan campur tangan luar biasa dalam urusan sedemikian.

Bank terbesar di Malaysia — CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) — telah memperoleh kebenaran untuk bersaing bagi mengambil alih peminjam keempat terbesar RHB Capital.

Penggabungan itu kemungkinan akan melahirkan bank terbesar di rantau Asia Tenggara.

CIMB diketuai oleh Datuk Seri Nazir Razak, dilihat pesaing utama dalam usaha mengambil alih RHB Capital.

Satu sumber industri bank berkata persekitaran seharusnya bertindak sebagai pasaran bebas agar tidak merugikan mana-mana pihak.

"Mengapa perlu ada syarat-syarat yang pelik," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

"Bank Negara seharusnya juga membenarkan pemegang saham baru untuk memutuskan jika mereka mahu menyokong satu penggabungan atau tidak," kata sumber itu sambil menambah, pihaknya tidak memerlukan urusan-urusan tidak munasabah dalam bisnes ini.

Kata sumber itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan berhadapan dengan kecaman memandangkan pentadbirannya sebelum ini melaungkan dasar mahu mengadakan perkhidmatan kewangan bebas dengan penyeliaan minimum daripada pihak kerajaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menyaksikan penjualan pegangan ADCB kepada Aabar Jumaat lalu bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan, yang mengadakan lawatan satu hari ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sumber-sumber berkata, Bank Negara telah mengenakan syarat-syarat itu kerana ia tidak mahu bank-bank yang bersaing lemah dari segi kewangan ekoran penggabungan itu, yang merupakan terbesar di negara ini jika pemegang utama RHB Capital, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memutuskan untuk menjual 44 peratus saham miliknya.

Bank Negara khuatir dengan harga RM10.80 sesaham yang dibeli oleh Aabar Investments, yang dinilai 2.25 kali lebih tinggi berbanding nilai harga buku (PB) meskipun difahamkan bahawa ADCB menerima bidaan antara 2.0 dan 2.4 kali PB semasa ia mengadakan tender terbuka.

Bagaimanapun industri bank menyebut bahawa jual beli itu berlaku ketika ledakan pasaran, sedangkan CIMB membeli Southern Bank pada kadar 2.2 lebih tinggi lima tahun lalu ketika industri perbankan lemah.

"Kita bercakap mengenai satu jumlah wang yang besar di sini, tetapi jika sama ada CIMB atau Maybank tidak boleh membeli RHB, maka mereka tidak terlibat (dalam urusan pengambilalihan).

"Ini yang dikatakan pasaran bebas," kata satu lagi sumber industri yang rapat dengan urusan itu kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai KWSP akan meminta Putrajaya memastikan proses bidaan adalah adil dan telus dan dijalankan tanpa campur tangan.

Pegawai-pegawai kanan KWSP tahu bahawa mereka akan dikecam oleh ahli-ahli politik pembangkang dan pemegang saham jika mereka tidak mendapat harga terbaik bagi penggabungan.

Lebih 12 juta pekerja tempatan, rakyat Malaysia dan warga asing, mempunyai akaun dalam KWSP, dana simpanan masa tua yang selalunya dikecam kerana memberi dividen rendah meskipun pelaburannya meningkat.

"KWSP tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan dipaksa menjual dalam harga yang rendah disebabkan ia melibatkan dua pelabur Malaysia iaitu Khazanah Nasional Berhad di pihak CIMB dan pemegang saham utama Maybank, Permodalan Nasional Berhad," kata satu sumber pelaburan kepada The Malaysian Insider.

Menurut penganalisis, pengambilalihan RHB Capital kemungkinan berdasarkan 2 hingga 2.5 kali nilai PB atau antara RM9.70 dan RM12 sesham.

Berdasarkan pegangan RHB dalam lingkungan 2.2 bilion saham, mana-mana pelabur yang ingin membelinya perlu membayar sehingga RM26.3 bilion.

Tiada ulasan: