Selasa, 28 Jun 2011

Suhakam digesa pantau polis cabuli hak rakyat

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengecam serta membantah sekeras-kerasnya tangkapan awam kepada rakyat biasa yang dilakukan secara sewenang-wenangnya serta melulu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Tindakan tidak beretika dan melanggar undang-undang itu telah menimbulkan kecaman hebat daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk NGO-NGO, parti-parti politik, badan-badan swasta dan para cendekiawan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis itu adalah susulan daripada cadangan Himpunan Aman Bersih 2.0 yang dirancangkan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, tangkapan awam yang dilakukan itu adalah jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang negara serta bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang secara nyata menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara Malaysia mempunyai hak kebebasan secara sama rata untuk berhimpun secara aman, bersuara dan berpersatuan.

Katanya, pihak polis yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara dengan motto "Tegas, Adil dan Berhemah" telah menyalahgunakan kuasa dengan membuli rakyat bawahan secara membabi buta.

"Hanya kerana memakai baju kuning Bersih 2.0 dan mengadakan mesyuarat berkenaan sukan rakyat di Dewan JKKK, pihak polis telah menceroboh dan menangkap seorang pemuda di Padang Jawa, Shah Alam, 5 orang awam di Klang Parade.

"Selain itu, pihak polis juga telah menangkap Timbalan AMK Pusat, Khairul Anuar (Jonah) di Seksyen 24, seorang pemuda di Bangi serta 8 orang pemuda di Ampang tanpa alasan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam memorandum DPPNS yang diserahkan oleh beliau dengan ditemani 7 orang AJK DPPNS kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di pejabat Suhakam, di sini, hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh beliau sekitar jam 11.15 pagi tadi dan diterima oleh Pegawai Suhakam, Amaer Izianif Hamzah bagi pihak Pesuruhjaya Suhakam untuk diambil tindakan lanjut.

Menurut Hasbullah, akibat tangkapan secara salah yang dilakukan oleh pihak polis itu, DPPNS melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat dan Selangor bercadang untuk mengambil tindakan saman undang-undang terhadap pihak polis.

"DPPNS dengan ini memohon satu tindakan segera, semakan, siasatan serta pemantauan daripada pihak Suhakam atas tindakan tidak demokratik, melanggar hak asasi manusia, pencabulan undang-undang negara serta tidak beretika lagi tidak bertamadun ini," tegasnya.

Di samping itu, DPPNS juga, katanya, menyeru pihak Suhakam untuk bertindak secara sewajarnya bagi menjamin hak-hak kebebasan warganegara Malaysia dan Selangor daripada terus dicabul oleh pihak polis secara tidak bertamadun serta melanggar undang-undang negara daripada terus berlanjutan.

Tiada ulasan: