Ahad, 19 Jun 2011

Saya Mohon Maaf - Syamsul Yusof.

KLPOS.COM


KUALA LUMPUR - Pelakon dan Pengarah muda, Syamsul Yusof mengakui rasa kesal atas segala kemelut yang berlaku dan memohon maaf kepada mana-mana pihak termasuklah dari pihak Jawatankuasa PEKIDA kerana telah menyinggung perasaan mereka.

Menurut Syamsul, walaupun mempunyai alasan tersendiri, namun beliau tidak menafikan apa yang berlaku adalah tidak disengajakan dan beliau hanya merujuk kepada beberapa rakan sekeliling bagi memperlihatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

Malah, beliau sendiri tidak pernah mengetahui gelaran-gelaran tersebut merupakan penggunaan seharian di kalangan ahli-ahli PEKIDA. Beliau rasa berpuas hati dan bersyukur kerana kesemuanya telahpun selesai dan mencapai kata sepakat dari kedua-dua pihak.

Syamsul berkata demikian selepas selesai Majlis Musyawarah di antara pihak Skop Productions dan PEKIDA di Restoren Haslam di sini, malam tadi.

Dalam sessi temubual bersama Syamsul, beliau sempat berkongsi cetusan idea untuk membuat pembikinan filem yang beliau minati. Beliau mendakwa, dalam apa jua filem yang beliau ketengahkan, beliau akan memastikan ianya akan dilakukan dengan penuh berkesan agar mencapai apa yang disasarkan peminat filem arahannya. Akan tetapi beliau mengakui, filem aksi menjadi pilihan utama beliau bersesuaian dengan selera penonton pada masa kini.

"Jika dilihat kembali filem-filem Syamsul sebelum ini, ada Syamsul selitkan sedikit sebanyak mengenai Kongsi Gelap. Tapi Syamsul sentiasa ada impian untuk menghasilkan 100 peratus filem berkisarkan Kongsi Gelap."

Beliau juga sedaya upaya cuba memberikan memberikan kelainan dalam setiap filem yang beliau hasilkan. Sungguhpun filem-filem beliau lebih bercorakkan berbentuk aksi, terdapat juga elemen-elemen kisah cinta dan konflik dalam kehidupan masa kini.

"Filem-filem ini bukan merupakan kisah benar sebenarnya. Ianya hanya sekadar rekaan semata-mata. Tapi tidak dinafikan, kemungkinan ada serba sedikit filem-filem Syamsul ada kena-mengena dengan realiti."

Syamsul juga menjelaskan terdapat sebuah filem seram yang dihasilkan beliau buat pertama kalinya iaitu Khurafat dan beliau berpuas hati dengan pencapaian filem tersebut. Namun, filem aksi tetap menjadi pilihan utama beliau.

"Syamsul suka membuat filem yang ada jiwa. Ianya satu cabaran untuk menvisualkan aksi-aksi, memberi kepuasan kepada penonton dan seterusnya terdapat kepelbagaian rasa yang menarik jiwa penonton."



Tiada ulasan: