Sabtu, 4 Jun 2011

Saya menang AJK Pemuda bukan kerana pengaruh bapa, kata anak Hadi


GOMBAK — Anak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang terpilih sebagai ahli jawatankuasa kerja Pemuda PAS pusat menolak dakwaan bahawa beliau menang kelmarin disebabkan pengaruh bapanya dalam parti Islam itu.

Khalil berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau merasakan perwakilan memilihnya berdasarkan kelayakan yang ada pada dirinya.

“Saya tidak rasa perwakilan akan nilai saya disebabkan bapa saya. Kerana PAS telah diajar agar menyelidik dan melihat calon yang mempunyai kelayakan untuk memegang sesuatu jawatan.

“Jadi saya tak rasa faktor bapa, saya menang,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Insider semalam.

Selain itu, beliau juga berkata, kemenangan beliau merupakan satu kemenangan di luar jangkaan memandangkan beliau sebelum ini tidak disebut sebagai calon pilihan.

“Saya terkejut. (Tetapi) saya akan terima tanggungjawab ini,” katanya.

Khalil yang juga Ketua Pemuda PAS kawasan Marang berkata, setelah dipilih menjadi exco Pemuda PAS pusat, beliau akan bersama-sama Ketua Pemudanya Nasrudin Hassan dan rakannya yang lain akan mengukuhkan lagi Dewan Pemuda bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan diadakan bila-bila masa.

“Saya akan bersama-sama Dewan Pemuda membawa gagasan yang dibawa ketua saya untuk memimpin Pemuda PAS dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13. Saya akan bawa gagasan itu sebaik mungkin,” kata Khalil, 34, anak sulung daripada 14 adik-beradik.

Ayah kepada dua orang anak ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Yemen dan kini dalam proses untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Beliau bersama Nik Mohd Abduh Nik Aziz iaitu anak Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menang dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS pusat, kelmarin.

Nik Mohd Abduh yang sebelum ini merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja Pemuda PAS pusat dipilih sebagai timbalan ketua pergerakan itu.

Nik Mohd Abduh juga menganggap faktor kemenangan sebagai timbalan ketua bukan semata-mata kerana pengaruh daripada bapanya, tetapi disebabkan rekod pencapaian sendiri.

Katanya, beliau menang kerana pengalaman sendiri sebelum ini yang memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda PAS pusat sendiri dan juga di peringkat negeri Kelantan.

“Perwakilan sudah lihat pengalaman saya. Jadi, mereka yakin untuk undi saya,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, undi bonus juga datang disebabkan pengaruh ayah beliau sendiri.

“Mereka masih sayang ayah saya. Kasih sayang itu tumpah kepada undi kemenangan saya sebagai timbalan ketua,” katanya lagi.

Jelas Nik Mohd Abduh, beliau akan memfokus untuk menyempurnakan hasrat Nasrudin dalam ucaptamanya pada Muktamar Dewan Pemuda.

“Saya sekarang ini ambil sikap membayangkan apa yang hendak dibuat untuk PAS.

“Perubahan atau pembaharuan untuk PAS, saya akan fikir dulu. Apa yang pasti, saya fokus untuk ucaptama Nasrudin dulu,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam.

Nik Mohd Abduh, 41, sebenarnya berhasrat mahu bersara daripada Pemuda PAS. tetapi kembali ke pangkuan pergerakan itu sebagai timbalan ketuanya.

Ayah kepada lapan orang anak ini kini bekerja sebagai pengetua Mahad Tahfiz Nikmatillah di Pulau Melaka, Kelantan.

Tiada ulasan: