Rabu, 22 Jun 2011

Puad jangan jadi orang asing dengan PAS

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zakarshi mungkin sudah terlupa Perlembagaan PAS, parti yang pernah dia dukung.

“Untuk pengetahuan Dr Puad dasar PAS tidak berubah sejak daripada 1951 hingga sekarang,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Tambahnya, tidak timbul PAS sudah mengubah dasar perjuangan apabila tema ucapan dasar Muktamar PAS ke-57 adalah ‘Membangun Negara Berkebajikan’.

Katanya, tohmohan demi tomohan kepada PAS kononnya PAS sudah mengubah dasar dan menjadi terompah DAP dan paling kelakar yang menjadi dalangnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.

Jelasnya, setakat hari ini dasar PAS ialah Islam seperti tercatat dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS, Manakala Fasal 5, tujuan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah di samping mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, mungkin Puad terlupa bahawa setiap tajuk ucapan dasar muktamar dibincang di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa PAS Pusat terlebih dahulu bukan ditentukan oleh DAP sebagai tohmohan pemimpin Umno.

Katanya, cadangan Puad supaya PAS membuat referendum di kalangan ahli mengenai tajuk Membangun Negara Berkebajikan tidak berbangkit kerana tajuk manifesto PAS 2008 ialah Negara Berkebajikan dan semua perwakilan muktamar PAS seramai hampir 1,200 orang sebulat suara menerima ucapan dasar presiden.

“Dr Mohd Puad bolehlah membaca Perlembagaan PAS yang beliau pernah buka dahulu. Beliau janganlah jadi seperti orang yang asing dengan PAS membuat tuduhan liar begitu sahaja.

“Biarlah Tun Dr Mahathir yang dari dulu, kini dan selamanya berdendam dengan PAS,” ujarnya.

Tiada ulasan: