Isnin, 20 Jun 2011

Polis Temui Lelaki Mati Ditetak Dekat Tanah Perkuburan

Ditulis oleh Shakira Buang


KUALA LUMPUR : Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakkan dari senjata tajam berhampiran Tanah Perkuburan Kristian, Jalan Kuari, Cheras, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa, yang berusia lingkungan 30-an, bersama dua rakannya dikatakan berselisih faham dengan empat anggota kumpulan lain ketika menaiki sebuah bas dari tempat kerja mereka di Taman Len Seng, Cheras, untuk pulang kira-kira 7 malam tadi.

"Namun, ketika di dalam bas, mereka telah dipaksa oleh kumpulan tersebut untuk turun di kawasan seberang jalan tanah perkuburan itu," katanya.

Beliau berkata mangsa dan rakannya kemudian dikejar kumpulan berkenaan sehingga ke kawasan berhampiran tanah perkuburan sebelum diserang.

Dalam kejadian itu, seorang rakan mangsa cedera parah dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.

Ku berkata maklumat awal mendapati mangsa, yang ditetak dengan senjata tajam dipercayai parang, berasal dari Surabaya, Indonesia dan bekerja di tapak pembinaan di Taman Len Seng.

"Tidak ada sebarang identiti pada lelaki tersebut...menurut lelaki yang cedera parah itu, kumpulan yang satu lagi dipercayai bukan warga tempatan," katanya.

Tiada ulasan: