Sabtu, 4 Jun 2011

PKR Cabar Dedah PPA, Jika Tidak Mahu Dibawa Ke Mahkamah

Ditulis oleh Hadri Yaziz



PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tempoh seminggu kepada kerajaan untuk mengemukakan kepada umum perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Penjana Kuasa Bebas (IPP) sebelum parti itu memohon kebenaran mahkamah mendapatkan maklumat tersebut.

“PKR telah bersetuju sekiranya kerajaan tidak mendedahkan perjanjian-perjanjian PPA menjelang minggu depan, kami akan memfailkan satu permohonan di mahkamah untuk pendedahan penuh kontrak-kontrak itu,” kata Bendaharinya, William Leong pada sidang media tengahari tadi.

Ini kerana menurutnya perjanjian tersebut melibatkan kepentingan awam sehingga menyebabkan kenaikan tarif elektrik 7.12 peratus yang diumumkan oleh kerajaan awal minggu lalu.

Beliau turut mempersoalkan kepentingan kerajaan Perdana Menteri Najib Razak dalam IPP sehinggakan memaksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar 60 sen setiap kilowatt.

Katanya lagi, TNB turut dikenakan caj 40 peratus terhadap kuasa yang tidak digunakan.

"Kerajaan tidak boleh biar rakyat berada dalam kegelapan. Mereka perlu mengemukakan perkara ini kerana ianya merupakan kepentingan awam," tambah beliau.

Tiada ulasan: