Sabtu, 11 Jun 2011

Pengajaran daripada isu Lynas: KPRU tuntut kerajaan segerakan penggubalan FOI dan mantapkan Akta Alam Sekitar

KPRU


Sementara menunggu keputusan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin mengimbas kembali perkembangan isu pembinaan kilang tanah nadir (rare earth) oleh Lynas Corp serta mengulas dengan lebih lanjut beberapa perkara penting yang mungkin diabaikan khasnya oleh pihak media massa.

Lynas sebenarnya bercadang memulakan pembinaan kilang pemprosesan tanah nadir yang bernama Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan sejak tahun 2008 dan mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dengan segera pada ketika itu. Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan kelulusan projek sebagai "fast-track approval". Hal ini kerana JAS meluluskan projek pada 15 Februari 2008 walaupun hanya mendapat Laporan Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) pada 21 Jan 2008.<1><2> Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pula memberikan kelulusan kepada Lynas dalam tempoh 1 hari.<3>

Namun begitu, kerja pembinaan telah diberhentikan selepas pemegang bon projek menarik diri ekoran krisis kewangan sedunia pada tahun 2008.<4> Pembinaan tapak LAMP diteruskan pada hujung tahun 2009 selepas mendapat suntikan modal daripada pelabur baru.

Terkini, pembinaan LAMP hampir siap. Seperti yang diumumkan dalam laman web Lynas, ujian penerimaan kilang berkenaan sistem pengawasan proses dijangka siap pada pertengahan 2011, malah operasi pertama dijangka bermula pada September 2011.<5> Pembinaan dijalankan secara lancar tanpa gangguan sepanjang tempoh kunjungan dan kajian IAEA diadakan.

Penilaian tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diamalkan oleh kerajaan adalah perlu bermula daripada pembinaan LAMP mulai tahun 2008. Amat jelas bahawa kerajaan tidak memberikan maklumat terkini status projek LAMP kepada penduduk Kuantan dan Balok pada ketika itu. Majoriti Rakyat Kuantan hanya sedar dan terkejut apabila berita berkaitan disiarkan dalam akhbar antarabangsa New York Times bertarikh 8 Mac 2011, bukan dalam akhbar tempatan.<6>

Perkara yang sama juga berlaku sepanjang proses pembinaan. Rakyat tempatan berada dalam kegelapan dan tidak mempunyai akses kepada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta Laporan Penilaian Risiko (RAS) yang disediakan untuk JAS, dan Laporan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) untuk AELB.

Laporan-laporan tersebut hanya didedahkan secara berperingkat apabila suara bantahan rakyat menjadi semakin kuat. Misalnya, Laporan PEIA hanya dimuat naik ke laman web JAS pada 22 April 2011 meskipun LAMP sudah mula beroperasi menurut rancangan asal.<7> Kemudian, EIA dan RIA pula didedahkan kepada orang awam daripada 30 Mei hingga 30 Jun 2011 di tempat-tempat tertentu sahaja.<8> Malah pembaca tidak dibenarkan mengambil gambar ataupun membuat salinan berkenaan laporan-laporan tersebut.<9>

Seperkara lagi yang tidak rasional adalah, walaupun PEIA telah diluluskan oleh JAS pada awal tahun 2008, tetapi laporan RIA dan RAS LAMP hanya disiapkan pada Jun 2010 dan 19 November 2010 masing-masing.<10><11> Walaupun RIA merupakan laporan penting yang menggariskan kaedah mengendalikan sisa-sisa radioaktif, ia hanya disiapkan selepas permulaan fasa pembinaan LAMP.

Malahan, perkara kritikal yang menjadikan kredibiliti laporan tersebut terhakis adalah, mengikut maklumbalas IAEA kepada Majlis Peguam Pahang pada 31 Mei 2011, semua maklumat dan statistik yang digunakan sebagai sumber laporan RIA dibekalkan oleh Lynas.<12>

Lakaran perkembangan isu Lynas menunjukkan kelemahan dan kecacatan dalam dua aspek. Aspek pertama, kerajaan tidak mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban sepanjang pelaksanaan projek tersebut. Maklumat penting sengaja dilindungi tanpa pengetahuan rakyat dan hanya didedahkan apabila terdesak. Kerajaan juga tidak mengambil langkah proaktif untuk menerangkan kemajuan projek dan kesannya kepada penduduk-penduduk tempatan. Oleh itu, hak rakyat untuk memperolehi maklumat tidak dijamin sungguhpun rakyat merupakan pihak berkepentingan (stakeholder) utama.

Aspek kedua ialah proses kelulusan, pembinaan, penilaian serta pengoperasian projek yang akan membawa kesan kepada alam sekitar sama ada tidak mengikut standard yang ketat, ataupun prosedur yang sedia ada memang kurang lengkap. LAMP yang memperuntukkan RM700 juta kos pembinaannya perlu dinilai secara lebih komprehensif sebelum mendapat lampu hijau kerajaan untuk memulakan fasa pembinaannya. Kenyataan AELB bahawa projek tersebut "belum diluluskan sepenuhnya" walaupun proses pembinaan sudah bermula memang tidak munasabah biarpun bagi pihak pelabur asing.<13>

KPRU berpendapat jika Kerajaan BN ingin merealisasikan impian negara maju yang dapat membanggakan rakyat, aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban harus diberi penekanan khusus. Jika rakyat dapat akses kepada maklumat penting seperti risiko pengoperasian LAMP dan pendapat pihak berkepentingan utama diambil kira dalam proses rundingan awal sebelum permulaan projek, konsensus dapat dicapai meskipun wujud pertindihan kepentingan pelbagai pihak.

Oleh itu, untuk menjamin hak rakyat akses kepada maklumat, KPRU menganggap sudah tiba masa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) di semua peringkat seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan juga wajar menilai semula akta-akta berkenaan alam sekitar, terutamanya Akta Alam Sekeliling 1974 (serta pindaan-pindaannya), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 1987, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan lain-lain bagi menyeragam serta memperketatkan kebolehlaksanaan, kuasa penyeliaan, penguatkuasaan dan kebebasan supaya mendekati standard antarabangsa.

Negara maju adalah negara bertaraf dunia. Negara bertaraf dunia pasti mempunyai aspek perundangan dan mutu hidup bertaraf dunia. Penguatkuasaan FOI dan penambahbaikan akta-akta alam sekitar pasti akan merapatkan jurang kita menuju ke status negara maju.

Nota:
<1> http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/eco-group-claims-lynas-given-cursory-eia

<2>http://www.miti.gov.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_4008ad57-c0a81573-7a607a60-19ec542e

<3>http://www.youtube.com/watch?v=pTNYotdHL_I,minit 7:45–7:55

<4>http://findarticles.com/p/news-articles/new-straits-times/mi_8016/is_20090723/2010-start-lynas-plant-gebeng/ai_n44448577/

<5> http://www.lynascorp.com/page.asp?category_id=2&page_id=41

<6> http://www.nytimes.com/2011/03/09/business/energy-environment/09rare.html

<7> http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=News&file=article&sid=10507

<8> http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/5/27/nation/20110527150249&sec=nation

<9>http://www.freemalaysiakini.com/modules.php?name=News&file=article&sid=13139&mode=thread&order=0&thold=0

<10> Radiological Impact Assessment of Advanced Material Plant Gebeng Industrial Estate Kuantan, Pahang, m.s 1

<11> Quantitative Risk Assessment Study of Proposed Advanced Material Plant Within the Gebeng Industrial Estate, Kuantan, Pahang, m.s 2<12> http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/aelb-under-scrutiny-in-rare-earths-review/

<13> http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/newscommentaries/38979-tell-all-on-lynas-plant-says-ex-government-geologist

*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

Tiada ulasan: