Rabu, 22 Jun 2011

Pemuda PAS Selangor ucap tahniah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS negeri yang baru dibentuk dan telah diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, pemilihan Iskandar Samad, Ustaz Sallehin Mukhyi, Khalid Samad sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, 2 dan 3 menunjukkan bahawa PAS Selangor telah mempunyai sebuah pasukan yang lengkap dan kuat untuk menghadapi Pilihan raya Umum yang ke 13 nanti.

Ini, katanya ditambah dengan Khairuddin Othman sebagai setiausaha, Ir. Khairuddin Izham sebagai bendahari dan YB Tuan Hj Shaari Sungib sebagai Ketua Penerangan.

“Pastinya saf baru yang mempunyai kepelbagaian ilmu dan pengalaman ini akan diyakini oleh seluruh ahli parti dan rakyat jelata untuk meneruskan kecemerlangan kepimpinan Pakatan Rakyat dan menjadi ‘mimpi ngeri yang berpanjangan’ kepada Umno dan BN kepada Selangor,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Dewan Pemuda PAS negeri mengharapkan semoga setiap pemegang amanah jawatan itu akan bersungguh-sungguh membantu pesuruhjaya di dalam usaha untuk sungguh merealisasikan agenda “Membangun Negara Berkebajikan” sepertimana yang telah diluluskan pada Muktamar PAS Pusat baru-baru ini mengikut konteks Negeri Selangor.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS negeri akan sentiasa berdiri teguh dan istiqamah sebagai sayap parti yang utama untuk terus membantu saf kepimpinan PAS negeri melaksanakan agenda dan program-program parti kepada seluruh masyarakat.

Pihaknya juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya PAS negeri yang telah melantik Mohd Sany Hamzan, Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri sebagai AJK tambahan yang baru.

“Sudah pastinya pelantikan ini tambahan menggambarkan keprihatinan dan kepekaan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dengan perkembangan semasa anak muda belia yang kini merupakan generasi utama yang akan mencorakkan kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: