Ahad, 5 Jun 2011

Pelajar Tajaan JPA Yang Gagal Pulang Akan Diminta Bayar Balik Nilai Penuh Biasiswa - Mohamed Nazri

BERNAMA

JERANTUT: Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara yang enggan kembali berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian mereka akan diminta membayar balik dengan nilai penuh biasiswa termasuk dikenakan faedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jemaah Menteri akan mengkaji berasaskan undang-undang sedia ada bagi melaksanakan tindakan itu.

"Jika Kabinet bersetuju, bekas pelajar tajaan JPA yang sudah bekerja di luar negara akan diwajibkan membayar balik semua perbelanjaan berkenaan termasuk faedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di sini, Ahad.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian UMNO Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Mohamed Nazri berkata kebanyakaan pelajar tajaan JPA yang enggan pulang merupakan mereka yang menuntut di universiti di Eropah dan Amerika Syarikat yang menerima biasiswa berjumlah antara RM400,000 dan RM1.2 juta setiap seorang.

"Sewajarnya golongan berkenaan patut mengenang budi kerajaan yang memberi biasiswa dan menghantar mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional tertentu di luar negara," katanya.

Tiada ulasan: