Rabu, 22 Jun 2011

Pekida bukan Perkasa, kami takkan turun Bersih 2.0

Datuk Roslan Dahaman berkata, pihaknya tidak mahu terlibat dengan sebarang agenda politik yang jelas bertentangan dengan perjuangan mereka.


PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) bertegas tidak akan turun menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai depan.

Walau bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi Pekida Malaysia Datuk Roslan Dahaman berkata ini tidak bermakna pihaknya menyokong perhimpunan
mendesak satu sistem pilihan raya yang adil dan bebas itu.

Berbeza dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno yang mahu turun menghalang perhimpunan tersebut, Roslan berkata pihaknya tidak mahu terlibat dengan sebarang agenda politik yang jelas bertentangan dengan perjuangan mereka.

Soalan: Apa beza Pekida dan Perkasa?

Roslan: Saya pun tak faham mengapa Perkasa ditubuhkan. Semasa perasmian Perkasa di Dewan Tenaga Nasional Bangsar yang dihadiri oleh semua menteri termasuk Tun (Dr Mahathir Mohammad) berucap dari pagi sampai petang, petang sampai (kerusi) kosong. Tetapi saya masih tak nampak hala tuju apa yang diucapkan.

Mereka ada duit boleh bina empayar begitu saja. Kami Pekida bergerak daripada bawah keatas, bermula daripada bawah, daripada ahli biasa bergerak individu, tiada satu menteri pun yang tolong.

Hala tuju Perkasa ni apa? Politik atau menegakkan orang Melayu. Penubuhan Perkasa ini terlalu awal…..hanya perhimpunan, perhimpunan, perhimpunan, apa hala tuju perhimpunan? Kalau nak kata bantu orang, kami pun bantu orang, takkan nak cakap pada seluruh media Pekida bantu orang.

Tangan kanan memberi, tangan kiri diam. Kami ada asrama anak yatim, asrama tahfiz sendiri di Bentong, Pahang tanpa bantuan kerajaan tapi tak dipandang masyarakat, tak dipandang kerajaan.

Mungkin Pekida boleh bekerjasama dengan Perkasa?

Kami tak minat bekerjasama dengan Perkasa. Kita tak mahu tonjolkan muka dengan Perkasa. Kami berbeza atas dasar. Perkasa politik, kami atas dakwah Islamiyah.

Kami mungkin boleh bersatu dalam mempertahankan sesuatu hal tetapi kerana sifat kekitaan yang tinggi itu yang jadi masalah. Perkasa selalu keluar dikaca televisyen dan akhbar, kita bukan begitu.

Mungkin kerana pendirian sedemikian orang fitnah Pekida dan mengambil kesempatan mengkomersilkan perjuangan kita.

Pekida akan turun Bersih 2.0?

Tak minat, kalau boleh jangan. Kami telah membuat laporan polis dan mengambil pendirian kerana mereka ada agenda spekulatif sendiri. Bersih kalau nak dakwa mereka ini tak adil, sudah enam negeri mereka tawan semasa pilihan raya (PRU 2008) dulu.

Kalau dengar bersih nak berarak, Perkasa nak berarak, Pemuda Umno nak berarak, sampai bila isu ini akan selesai? Nasib kita dihujung tanduk, jangan jaja masa depan negara demi agenda dan kepentingan sendiri.

Tetapi bagi kami jika berlakunya sebarang pertelingkahan kita akan menjadi barisan paling hadapan dalam mempertahankan hak kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam. Kami akan menjadi orang yang paling kehadapan berjuang mempertahankannya, bangsa dan hak kedaulatan raja-raja Melayu.

Tiada ulasan: