Sabtu, 4 Jun 2011

PAS terus jarakkan diri dari Umno

JImadie Shah Othman


Untuk tiga tahun berturut-turut, muktamar PAS terus mengulangi penegasan mereka bersama Pakatan Rakyat dan berusaha menjarakkan diri mereka dengan Umno sebagai sebuah lagi parti Melayu-Islam.

"Tahaluf Siyasi (kerjasama politik) yang diamalkan oleh PAS ini telah menjadi sebahagian daripada fekah politik Islam yang wajib dipelajari oleh pimpinan PAS dan diperkenalkannya kepada masyarakat supaya mereka memahami perbezaan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala antara Umno dalam BN..." kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ucapan itu dilihat sebagai respons kepada pelawaan berterusan Umno dalam isu kerajaan perpaduan yang mula diperkatakan sejurus selepas berlakunya 'tsunami politik' selepas 8 Mac 2008.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam muktamar PAS ke-57 di Gombak hari ini, Abdul Hadi juga mendakwa kerjasama dengan Umno dan BN hanya menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu.

Katanya perbezaan ideologi antara PAS dengan Umno yang tidak membolehkan kedua-dua parti duduk semeja terutamanya pendirian Umno yang memisahkan politik dengan agama yang menurut beliau sama sekali bertentangan dengan amalan PAS yang berpolitik mengikut panduan Al-Quran.

Menurutnya, sebagai parti yang paling berpengalaman - sama ada sebagai pembangkang atau dalam kerajaan - PAS harus sedar tentang perkara itu.

NONETurut hadir sebagai tetamu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang.

Berucap di hadapan lebih 1,000 perwakilan, Abdul Hadi terus mengkritik Umno yang didakwanya gagal membersihkan politik dalam negara yang memisahkan ajaran agama daripadanya.

"Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya," katanya.

NONEBeliau terus mengulangi kritikan kerasnya pada Umno yang disifatkannya sebagai "dibarahi penyakit warisan penjajah" serta membutakan dan memekakkan orang Melayu dengan politik wang serta hiburan yang membodohkan.

"Maka menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah," katanya.

Tiada ulasan: