Ahad, 19 Jun 2011

PAS Terengganu Dibarisi Pemimpin Muda

BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu pada Sabtu menyaksikan pelantikan ramai muka baru dengan sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan muda.

Pesuruhjaya PAS baru Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata pelantikan tersebut adalah antara sebahagian daripada persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Bagaimanapun, orang lama yang banyak berpengalaman juga diperlukan dan berada di belakang kami," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini.

Mohd Abdul Wahid berkata mesyuarat itu juga mengambil keputusan melantik presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penasihat kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Katanya pelantikan Abdul Hadi memandangkan beliau adalah orang Terengganu dan juga merupakan Anggota Parlimen Marang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Beliau berkata, selain beliau serta tiga Timbalan Pesuruhjaya Saiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak (ADUN Bukit Tunggal), seramai 22 ahli jawatankuasa baru juga telah dilantik.

Mohd Abdul Wahid berkata Yahaya Ali dikekalkan sebagai setiausaha manakala tiga penolong setiausaha ialah Kamarudin Yunus, Hanafiah Mat dan Zakaria Dagang.

Katanya, M Shukrimun Shamsudin pula dilantik sebagai bendahari, ketua penerangan Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala Ariffin Deraman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri.

Di samping itu, 10 ahli jawatankuasa yang dilantik antaranya Datuk Abu Bakar Chik, Dr Mohd Khazani Abdullah, Dr Azman Ibrahim, Zarani Binti Othman, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (ex officio) dan dua pemeriksa kira-kira.

Mohd Abdul Wahid berkata, beliau mendapat kerjasama yang cukup baik dengan barisan kepimpinan baru yang dilantik itu dan menyifatkannya lebih mantap.

Tiada ulasan: