Jumaat, 24 Jun 2011

PAS perkasa tarbiyah ahli

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS Pusat kini sedang berusaha memperkasakan kerja-kerja pentarbiyahan ke atas ahli-ahlinya bagi membolehkan mereka menjadi lebih mantap dan bekeupayaan tinggi membantu perjuangan parti.

Sehubungan itu, Lajnah Tarbiyah PAS Pusat yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memperkemaskan lagi kerja-kerjanya dengan menubuhkan Jabatan Tarbiyah PAS di peringkat pusat baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, jabatan tersebut diketuai oleh bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sejajar dengan kebolehannya dengan kerja-kerja seperti itu.

Menurut beliau, penubuhan Jabatan Tarbiyah PAS Pusat itu akan disusuli pula dengan penubuhan Jabatan Tarbiyah PAS di peringkat negeri tidak lama lagi bagi memperkasakan kerja-kerja jabatan itu.

Katanya, kepentingan penubuhan jabatan itu telah dibincangkan secara meluas oleh kepimpinan PAS Pusat baru-baru ini dan ia telah dipersetujui oleh Presiden sendiri, sejajar dengan keperluan perjuangan PAS yang menuntut setiap ahlinya mempunyai ciri-ciri pentarbiyahan yang tinggi.

"PAS adalah parti Islam yang berjuang atas dasar Islam. Sesuai dengan nama dan dasar perjuangannya, setiap ahli PAS mestilah mempunyai keimanan yang mantap, berakhlak mulia, mempunyai pelbagai sikap baik yang dituntut dalam Islam," katanya pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Dengan adanya Jabatan Tarbiyah itu, menurut beliau, ahli-ahli PAS akan dibantu secara berterusan oleh parti bagi mendapatkan khidmat pentarbiyahan menerusi kursus-kursus atau majlis-majlis khas mengenainya yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

"Calon-calon PAS yang akan bertanding dalam pilihanraya nanti akan dimestikan hadir ke majlis tarbiyah yang dikendalikan oleh jabatan itu, bagi membolehkan mereka diperlengkapkan dengan ciri-ciri akhlak mulia, jujur, ikhlas dan amanah.

"Ini amat penting dalam kita mengharungi hidup ini kerana cabaran yang dihadapi setelah menang berbeza ketika belum menang agar kita tidak terpengaruh dengan kebendaan dan keduniaan," katanya.

Cabaran ketika belum menang atau dalam kesusahan, menurutnya, sebenarnya lebih ringan berbanding cabaran kesenangan atau kemewahan dan cabaran tersebut akan mampu dihadapi dengan baik oleh mereka yang mempunyai ciri-ciri pentarbiyahan yang tinggi sahaja.

Selain melaksanakan kerja-kerja pentarbiyahan kepada ahli-ahli, jabatan tersebut, katanya akan turut memainkan peranan penting dalam kerja-kerja dakwah melibatkan orang bukan Islam, termasuk di kalangan ahli kelab penyokong PAS.

"Sememangnya diakui, semua kerja itu bukanlah mudah. Ia hanya mampu dilakukan oleh mereka yang ikhlas dan jujur. Selain itu, ia turut menuntut tahap kesabaran yang tinggi kerana untuk menarik seseorang ke dalam Islam itu sendiri bukan mengambil masa yang sekejap.

"Jadi, pendekatan yang akan kita lakukan dalam hal ini adalah dengan kaedah memberikan penerangan. Usaha itu akan kita lakukan secara berterusan dan akan turut dibantu oleh lajnah penerangan dan dakwah.

"Maknanya, walaupun sudah ada lajnah tarbiyah dan jabatan tarbiyah, usaha tersebut tidak akan diserahkan kepada lajnah dan jabatan itu sahaja, tetapi akan dilakukan secara bersepadu dengan lajnah penerangan dan dakwah PAS," ujar beliau.

1 ulasan:

hussin berkata...

yang bertemu dengan umno dalam gelap terlebih dahulu perlu ditarbiyahkan!