Jumaat, 24 Jun 2011

NIAT terus gesa Putrajaya batal guna Interlok, dakwa rakyat hilang yakin

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) mengulangi gesaannya agar Putrajaya menarik balik penggunaan novel Interlok sebagai buku teks sastera di sekolah ekoran kemelut yang berpanjangan termasuk isu terbaru penggunaan pelekat khas.

Isu ini muncul semula dengan dakwaan bahawa Kementerian Pelajaran telah memutuskan untuk menggunakan pelekat khas bagi menutup perkataan-perkataan yang sensitif berbanding persetujuan awal agar novel itu dicetak semula.

“Kami di NIAT, bermula dari hari pertama (isu ini) kami telah meminta kerajaan agar menarik balik novel Interlok daripada digunakan dalam sukatan sekolah dan digantikan dengan novel dari zon-zon lain,” kata penyelaras media NIAT Barathidasan Saminathan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Novel Interlok yang kontroversial hanya digunakan di sekolah-sekolah di Zon II iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Zon I yang terdiri daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menggunakan novel Kembara Amira tulisan Amer Hamzah L. Kadir, Zon III melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan novel Sutrea Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan dan Zon IV Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menggunakan novel Kabus Di Perbukitan tulisan Mohamad Kholid Hamzah.

Barathidasan berkata, pihaknya secara total tidak bersetuju dengan pendirian MIC bahawa novel itu yang kini melibatkan pindaan perlu dicetak semula.

“Mencetak semula edisi yang sama atau guru-guru yang perlu menampal pindaan secara manual tidak boleh diterima,” katanya lagi.

Kata Barathidasan, tiga bulan yang lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bersetuju bahawa pindaan membabitkan 106 perkara yang dilakukan sebelum ia diedarkan semula kepada sekolah.

“Ini bermakna bukan hanya sembilan muka surat, ada lebih banyak lagi sebenarnya.

“Kenyataan kerajaan yang muncul dalam media bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Kementerian Pelajaran sebelum ini. Keadaan ini sudah pasti dan sudah tentu akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terhakis,” kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, NIAT kekal dengan pendiriannya bahawa novel Interlok perlu ditarik balik daripada penggunaan dalam sukatan pelajaran SPM kerana ia akan menjejaskan integrasi kaum dan agama, bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak, bertentangan dengan hak asasi manusia dan mengganggu gugat persefahaman yang sedia terjalin di kalangan kaum Melayu, India dan Cina.

Kelmarin, MIC berkata pihaknya kecewa dengan tindakan menggunakan pelekat – yang wakil panel khas kaum India menyifatkannya sebagai “pelekat ajaib” bagi menutup perkataan-perkataan sensitif dalam buku teks sastera Interlok.

“Apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang mengecewakan,” kata Presiden MIC Datuk G Palanivel.

Justeru, kata Palanivel, jika tiada jaminan bahawa buku teks itu akan diedit dan dicetak semula, MIC akan membuat satu pendirian tegas termasuk meminta agar ia ditarik balik daripada digunakan di sekolah.

Kementerian Pelajaran telah menyerahkan tanggungjawab menyunting dan mencetak semula kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seterusnya dibekalkan untuk kegunaan pelajar tingkatan lima di zon dua.

Isu kontroversi Interlok yang dilihat sudah reda dengan keputusan tiga bulan lalu muncul semula dengan laporan media hari ini bahawa pendekatan pelekat khas akan digunakan untuk menyelesaikan sama sekali perkara tersebut.

Palanivel berkata sememangnya sudah ada persetujuan bahawa novel Interlok akan diedit secara total dan dicetak semula ekoran keputusan yang dicapai berkaitan pindaan tiga bulan lalu.

Tiada ulasan: