Sabtu, 11 Jun 2011

NGO buat laporan polis bantah BERSIH

BERNAMA


Dua buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Bukit Mertajam hari ini membuat laporan polis bagi mendesak supaya pihak berkuasa melarang perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Pertubuhan yang dikenali sebagai Wira Perkasa Pulau Pinang (PERKASA) dan Penawar 1 Malaysia itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam dan mendesak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur iaitu Badan Pengerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS.

Ketua Penerangan PERKASA Norhalim Abdul berkata polis harus mengambil tindakan segera kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur adalah berunsur menghasut rakyat dan mempunyai niat untuk mengganggu ketenteraman awam.

"Penganjuran perhimpunan itu, hanya akan menjejaskan ekonomi negara kerana ia akan menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak selamat kepada pelabur-pelabur asing," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Di Kelantan, penduduk Kampung Wakaf Baharu, Tumpat meminta pihak berkuasa bertindak tegas ke atas Bersih yang merancang mengadakan demonstrasi itu.

Ketua Kampung Wakaf Baharu, Mat Yusoff Mat Musa,60, berkata tindakan menghimpunkan orang ramai dengan tujuan mengadakan demonstrasi membantah kerajaan boleh menyebabkan huru hara.

"Kalau perkara itu dibiarkan dan keganasan berlaku, rakyat akan hidup dalam ketakutan berpanjangan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Wakaf Baharu, di Kota Bharu.

Dalam laporan media 7 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengumumkan harat kumpulan itu mengajak rakyat negara ini turut serta dalam perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 9 Julai depan.

Katanya ia adalah untuk menggerakkan rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengulas perkara itu berkata pihak penganjur perlu bertanggungjawab sekiranya perhimpunan itu dilaksana dan menganggu ketenteraman awam.


Tiada ulasan: