Ahad, 5 Jun 2011

Mufti Perlis mahu PAS bentang konsep negara kebajikan

THE MALAYSIAN INSIDER

GOMBAK— Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berharap PAS akan membentangkan segera konsep negara berkebajikan yang disentuh oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya kelmarin.

“Kita juga harap PAS bentangkan segera konsep negara kebajikannya. Jangan sampai rakyat tunggu-tunggu seperti kerangka negara Islam PAS sebelum ini yang tidak muncul tiba,” kata Juanda (gambar) dalam satu kenyataan SMS.

Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema “membangun negara berkebajikan”, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Dalam ulasannya semalam, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 kelmarin, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Dalam kenyataannya Juanda juga berkata, pimpinan yang membayangkan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan juga perlu ditonjolkan kalau PAS benar-benar ingin mentadbir negara ini.

“Kalau tidak PAS hanya akan menjadi penonton. Rakyat Malaysia akan benar-benar tertarik dengan agenda PAS untuk Malaysia jika jelas.

“Tinggalkan budaya cemoh orang lain seperti kata ada ulama kerajaan dan pembangkang. Inikan demokrasi! Wujudkan budaya sedia terima kritikan. PAS mampu,” katanya lagi.

Juanda juga berkata, PAS sepatutnya berjiwa besar dalam amalan demokrasi dan jika PAS bebas bersekongkol dengan DAP, parti Islam itu tidak patut mengutuk orang Islam lain yang tidak salah faham dengan mereka.

“Mana dia suara ulama PAS dalam tangani isu sosial dan lain-lain? Mereka lebih senyap daripada orang lain. PAS kena jiwa besar. Islam akui khilaf.

“Tapi jangan kutuk! Kalau nak bagi jelas lagi, PAS dan Pakatan Rakyat sudah menguasai empat negeri dan di sana ada ramai ulama dan mufti yang bekerja dengan kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat. Mulakan dengan mereka jalankan agenda PAS,” katanya.

Tiada ulasan: