Isnin, 20 Jun 2011

MIC: Sokongan golongan muda India kepada masih jadi tanda tanya

THE MALAYSIAN INSIDER


JOHOR BARU — Selepas berpaling kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, sokongan masyarakat India kini mulai kembali kepada Barisan Nasional, kata Presiden MIC Datuk G Palanivel.

Walaupun demikian, kata beliau, berdasarkan maklum balas daripada ketua-ketua akar umbi MIC negeri, sokongan golongan muda kaum itu masih menjadi tanda tanya.

“Kita mesti lakukan perkara yang dapat menarik golongan muda seperti memberi mereka pekerjaan, peluang niaga atau latihan,” kata beliau dipetik Bernama Online.

Golongan itu marah kerana mereka merasakan mereka tidak mendapat peluang cukup untuk memaju dan menaikkan taraf hidup mereka, kata Palanivel (gambar) kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Johor ke-65 di sini hari ini.

Menurut beliau, masyarakat India seperti kaum lain yang marah kepada kerajaan sehingga berpaling kepada pembangkang pada pilihan raya 2008 itu kembali menyokong BN berikutan konsep 1Malaysia dan transformasi yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sokongan masyarakat India dibuktikan dengan peningkatan undi mereka sebanyak 75 peratus pada pilihan raya kecil Tenang, Merlimau (82 peratus) dan Kerdau (hampir 82 peratus).

Bagaimanapun beliau mengingatkan lebih kurang 4,000 cawangan MIC di seluruh negara agar menggandakan usaha mereka untuk mendaftar 400,000 masyarat India sebagai pengundi dan menjadi ahli parti.

Ini kerana setiap undi masyarakat India adalah amat bermakna untuk BN dan MIC di kala kemenangan pada pilihan raya tidak lagi dapat diramal seperti duhulu.

Tiada ulasan: