Khamis, 9 Jun 2011

Mahkamah Syariah Kuantan dengar kes waktu malam mulai semalam

THE MALAYSIAN INSIDER

KUANTAN — Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bersidang sebelah malam mulai semalam bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes tertunggak.

Sidang mahkamah pada sebelah malam itu difahamkan merupakan yang kedua dilaksanakan di negara ini selepas Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor, lapor Bernama Online.

Sidang pada sebelah malam itu dijangka diadakan setiap dua kali seminggu dengan mendengar 10 kes semalam.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pahang Muhammad Azhari Abd Rahman berkata sidang itu diadakan atas inisiatif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Rahman Md Yunus berikutan lambakan kes yang perlu diselesaikan.

Beliau berkata ketika ini mahkamah tersebut menerima antara 30 hingga 40 kes sebutan sehari manakala 10 hingga 15 kes bicara sehari.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini sahaja hampir 500 kes telah didaftarkan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu 450 kes,” kata beliau.

Sidang mahkamah yang bermula 9 malam dan akan berakhir selewat-lewatnya 11 malam berbanding operasi biasa iaitu bermula 8.30 pagi hingga 5 petang itu akan mendengar kes mal (sivil) seperti fasakh, harta sepencarian dan penceraian.

Tiada ulasan: