Khamis, 9 Jun 2011

Lelong bangunan disewa PKR ditangguh


KUALA LUMPUR — Proses melelong bangunan yang menempatkan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan hari ini ditangguh buat sementara waktu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa satu perintah mahkamah telah difailkan bagi menghalang proses berkenaan daripada diteruskan.

“Saya telah diberitahu oleh William Leong (Bendahari Agung PKR) bahawa sebuah syarikat telah memfailkan satu injunksi mahkamah untuk menghentikan proses lelongan hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata Saifuddin, beliau tidak tahu nama syarikat dan alasan yang digunakan untuk memfailkan injunksi tetapi pihaknya akan meneliti perkara itu.

Sementara itu, Leong mengesahkan telah menerima maklumat pembatalan proses lelongan daripada pihak bank.

“Saya telah menerima satu panggilan telefon pagi ini memberitahu ada pihak telah mendapatkan perintah mahkamah, injunksi untuk menghalang lelongan hari ini,” katanya.

Ibu pejabat PKR yang terletak di Merchant Square akan dilelong kerana pemilik bangunan yang disewa parti tersebut gagal membayar balik pinjaman bank.

PKR menyewa dua lot bangunan di mana setiap satu lot setinggi lima tingkat dengan sewa bulanan antara RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan.

Tiada ulasan: