Ahad, 5 Jun 2011

Konvensyen dan himpunan seribu penulis Selangor

Oleh Dinsman


Apapabila diberitahu yang kerajaan negeri Selangor hendak menghimpunkan seribu orang penulis, sempena Hari Ilmu 26 Jun 2011 dan juga Pesta Buku Selangor 24 Jun – 3 Julai ini, ramai kawan-kawan bertanya semula dengan nada kurang percaya: Kita adakah seribu orang penulis?

Apabila dikatakan maksud ‘penulis’ itu termasuk juga penulis blog, barulah mereka menunjukkan reaksi percaya. Tak mengapalah. Percaya atau tidak pun, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang bertanggungjawab menyelenggarakan perhimpunan ini telahpun membuat kerja-kerja mereka, dan khabarnya mereka telah mendapat respons yang tidak lagi membimbangkan terhadap penyertaan perhimpunan itu

PPAS juga menyelenggarakan Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu. Tujuan mereka untuk menggalakkan masyarakat membaca. Pesta Buku Selangor itu acara yang sudah dimulakan sebelum era Pakatan Rakyat lagi; manakala Hari Ilmu adalah program yang diinisiatifkan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, yang pertama kali diadakan pada 26 Jun tahun lalu.

Aktiviti utama Hari Ilmu ialah Gerakan Membaca Perdana. Tahun lalu mereka menganjurkan satu himpunan seribu orang duduk membaca secara terbuka di laman tasik Shah Alam. Sultan Selangor sendiri hadir merasmikannya. Sambutan orang awam sangat menggalakkan. Lebih dari yang diduga dan disasarkan. Yang hadir dan mendaftar seramai 15,271 orang. Dan ada juga yang tak mendaftar. Malaysia Book of Record mencatatkannya sebagai “Largest outdoor reading event in Malaysia”.

Tahun ini Gerakan Membaca Perdana tidak sekadar menganjurkan perhimpunan seribu orang atau 10 ribu orang untuk membaca, tetapi menganjurkan perhimpunan seribu orang penulis. Mereka hadir (di Pusat Konvensyen Shah Alam, SACC) dan mengisi borang penyertaan yang antara lain menghendaki mereka menyerahkan salinan muka depan sebuah karya mereka, (bukti mereka memang penulis).

Mereka juga dikehendaki menulis sebuah karangan atau catatan berdasarkan tema “Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan”. Minimum setengah muka surat kertas ukuran A4.

Aktiviti membaca juga tidak ditinggalkan pada Hari Ilmu ke-2 ini, yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. “Reading Break” atau “Berhenti Sekejap, Jom Membaca”, selama 15 minit. Acara ini ditetapkan akan berlangsung pada jam 10.45 – 11.00 pagi, di seluruh negeri Selangor. (Bagaimana mereka melakukannya, kita akan tahu nanti).

Acara kemuncak Hari Ilmu Selangor 2011 ialah penyampaian anugerah Tokoh Penulis Selangor, oleh Menteri Besar, kepada seorang penulis-ilmuan yang telah menghasilkan lebih daripada 10 buah buku dalam bahasa Melayu. Siapakah tokoh penulis tersebut? Tunggulah saat pengumumannya.

Barangkali acara paling menarik ialah sesi dialog dengan Menteri Besar Selangor, yang mengikut Hjh Mastura Muhamad, Pengarah PPAS, akan dibuat secara terbuka dan dalam tempoh waktu yang agak selesa. Ia akan berlangsung selepas selesainya acara perasmian Pesta Buku dan Hari Ilmu, dan juga penyampaian anugerah Tokoh Penulis.

Menariknya juga, sebelum sesi dialog ini ialah ucapan atau ucaptama oleh wakil Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi), dengan tema “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan”. (Paksi sangat berterima kasih kepada Hjh Mastura dan Dr Halimah Ali, kerana memberikan kepercayaan yang sebegitu besar kepada Paksi).

Sebelah petangnya akan berlangsung Konvensyen Penulis, bertempat di Dewan Plenary SACC. Panel yang akan mengemudikan konvensyen ini ialah dua orang Sasterawan Negara – A Samad Said dan Anwar Ridhwan, di samping Tokoh Penulis Selangor yang akan diumumkan nanti, dan saya sendiri mewakili Paksi.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, dan Hjh Mastura sebagai penganjur konvensyen ini, akan hadir untuk mengikuti perbincangan para penulis. Kata Hjh Mastura, Exco Kebudayaan Selangor juga akan dijemput hadir, memandangkan soal penulisan, kesenian dan kebudayaan adalah juga menjadi tanggungjawabnya.

Konvensyen yang akan bermula pada jam 2.30 petang ini terbuka kepada semua penulis. Tidak terhad kepada penulis Selangor sahaja. Barangkali bolehlah dikatakan ini adalah konvensyen pertama mengenai penulisan, kesenian dan kebudayaan yang dianjurkan oleh negeri Pakatan Rakyat, sebagai persediaan Pakataan Rakyat untuk mengambilalih Putrajaya selepas PRU-13 nanti.

Bunyinya macam agak penting dan hebat juga. “Sebelum ini pun bukan tak pernah ada acara yang bunyinya hebat dan penting begitu,” kata kawan-kawan saya yang sudah banyak pengalaman kecewa dengan pihak kerajaan Pakatan Rakyat.

Kawan-kawan saya itu, dengan kerajaan Umno-BN mereka tak mengharapkan apa-apa lagi. Macam tak wujud pun. (Kecuali ada seorang ahli Paksi yang selalu bekerjasama dengan sebuah kerajaan Umno-BN di selatan). Maka perhatian dan komitmen kami umumnya hanyalah kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya selalu menegaskan bahawa apabila golongan penulis dan budayawan memohon atau menuntut supaya pihak kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi untuk aktiviti seni- budaya, itu bukanlah suatu permohonan ‘bantuan’ seperti yang selalu disalah-mengerti. Tetapi itu adalah hak seni-budaya yang sepatutnya diperuntukkan oleh kerajaan kepada aktiviti seni-budaya.

Apa pun, kini dengan sikap terbuka dan kesediaan bekerjasama yang ditunjukkan oleh Hjh Mastura dan Dr Halimah itu, saya rasa tidak salah kalau Paksi juga bersikap terbuka dan bersedia untuk bekerjasama bagi menjayakan program yang diinisiatifkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor ini.

Lagipun Paksi baru saja bekerjasama dengan PPAS menganjurkan majlis bicara buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (KEBB) dan kumpulan cerpen Ranum (karya Razali Endun), di dewan Perpustakaan Negeri Selangor, Shah Alam, pada 23 Februari lalu. Suatu aktiviti yang ternyata menjadi satu daripada aktiviti Paksi yang menarik, berjalan dengan lancar, dan mencapai tujuan.

Tiada ulasan: