Selasa, 21 Jun 2011

Khairy: Ibrahim Ali tak wakili majoriti Melayu


KUALA LUMPUR – Kenyataan bersifat ‘rasis’ dibuat Datuk Ibrahim Ali khususnya terhadap kaum Cina ketika satu majlis anti-Bersih 2.0 semalam tidak menggambarkan keseluruhan pendirian orang Melayu, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini.

“Saya hanya mahu orang ramai mengetahui bahawa ini adalah pandangan seorang Ahli Parlimen yang tidak mewakili majoriti kaum Melayu.

“Kami adalah kaum berhati mulia, kami tidak melanggan pandangan ini,” kata Khairy (gambar) kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy menggesa agar dikenakan tindakan ke atas Presiden Perkasa itu.

“Apa yang beliau kata sangat bahaya... sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan ialah adakan siasatan dari segi hasutan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Umno seolah-olah menunjukkan warna sebenar parti itu bahawa ia hanya berkepentingan untuk satu kaum apabila membenarkan ugutan ala Nazi disampaikan oleh Ibrahim dan Perkasa yang diwakilinya semalam.

“Dengan keengganan parti tersebut untuk mengambil tindakan, Umno bersalah atas sokongan terhadap Perkasa dan pendirian parti itu.

“Malah, ia amat jelas sejak sekian lama, sebagaimana ditunjukkan oleh Umno yang kurang mengambil tindakan terhadap kes-kes seperti demonstrasi seperti protes kepala lembu pada 2009 dan pelbagai ucapan pemimpin mereka yang menyamakan kaum India dengan pengemis dan wanita Cina sebagai pelacur,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan “apa sahaja boleh berlaku.”

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan, saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya semasa melancarkan Gerak Aman semalam.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Tiada ulasan: