Sabtu, 18 Jun 2011

Ketua Audit Negara perlu siasat laman Facebook RM1.8 juta – Elizabeth Wong

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Exco Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong menggesa Ketua Audit Negara menyiasat kontrak luar biasa RM1.8 juta untuk laman Facebook Kementerian Pelancongan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat, Impact Creation Sdn Bhd.

Tender untuk kontrak selama tiga tahun itu diberikan kepada syarikat tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan rakan Ng Yen Yen, Juni Ewe.

Juni Ewe, Pengarah Urusan Impact Chalengger Sdn Bhd, dikatakan perunding untuk Impact Creations Sdn Bhd yang turut memenangi tawaran untuk kontrak pengiklanan dan promosi di kementerian pelancongan bagi 2011 hingga 2013.

Menurut Elizabeth, kontrak laman Facebook itu melibatkan kos yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan perhidmatan strategi media sosial yang diberikan.

Justeru, katanya, satu siasatan atau audit bebas perlu dijalankan untuk menyiasat kewajaran perbelanjaan sebesar itu.

“Perlu ada mana-mana pihak, samada jawatankuasa dalaman kementerian itu sendiri atau pun lebih baik jika Ketua Audit Negara menyiasat perbelanjaan yang terlalu besar itu.

“Strategi berkaitan media sosial ini bukanlah satu perkara yang terlalu asing atau pun sukar. Kos yang dikeluarkan kementerian itu terlalu tinggi,” kata Elizabeth.

Menurutnya lagi, siasatan itu perlu untuk melihat samada perbelanjaan itu wajar atau tidak kerana tindakan itu dilihat membazirkan wang rakyat dan meragukan.

Jumlah yang sebegitu besar juga dibelanjakan kerajaan di kala rakyat sendiri dipesan agar berjimat-cermat.

“Rakyat marah kerana kerajaan naikkan harga barang-barang keperluan harian dan pada masa yang sama meminta rakyat mengubah cara hidup (untuk berjimat-cermat),” kata Elizabeth.

Sebuah syarikat Integrated Strategic Communicatios Sdn Bhd, pada Januari lalu mengumumkan keputusan menarik balik tendernya terhadap satu kontrak selama tiga tahun selepas mendakwa proses pemberian tender meragukan dilakukan kementerian berkenaan.

Tender tersebut yang ditawarkan di bawah kempen ‘Malaysia, Truly Asia’ bernilai RM381 juta, turut ditawarkan kepada Impact Creation dan beberapa syarikat lain.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ISC, Austen Zecha, sebelum ini dilapor berkata, syarikat itu menarik diri kerana merasakan integritinya dikompromi apabila diminta memberikan ‘rebat’ sebanyak 50 peratus daripada kontrak yang dimenanginya kepada Kementerian Pelancongan.

Impact Creation dan Kementerian Pelancongan kemudian disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) pada Mac lalu berhubung penganugerahan kontrak itu.

Tiada ulasan: