Sabtu, 18 Jun 2011

Kes Saman MB Selangor Ditetapkan 20 September Depan

TVS NEWS




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 September depan untuk mendengar kes fitnah yang difailkan oleh Menteri Besar Selangor bersabit dakwaan menyalahguna kuasa dan dana kerajaan negeri .

Khalid telah memfailkan saman terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahamad Said Hamdan dan dua yang lain kerana mendakwa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban dan menyelenggara kereta peribadi miliknya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K.Pavani menetapkan tarikh itu pada suatu mesyuarat Jumaat lalu.

Khalid diwakili peguam Wan Anuar Wan Shahadat manakala Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom mewakili kerajaan dan lain-lain.

Peguam Sankara Nair memberitahu, timbalan pendaftar telah meminta pihak-pihak yang terbabit mematuhi arahan dan memfailkan dokumen-dokumen bagi tujuan pendengaran kes.

Khalid pada 27 April 2009 memfailkan saman terhadap Ahmad Said, SPRM dan kerajaan kerana memfitnah beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Besar.

Dalam samannya, Khalid mendakwa Ahmad Said pada sidang media 20 Februari pada tahun yang sama mengeluarkan kenyataan memfitnah dirinya berhubung pembelian lembu yang diagihkan di surau-surau di kawasan parlimennya pada Hari Raya Aidil Adha pada Disember 2008 dan menyelenggara kereta miliknya menggunakan dana kerajaan negeri.

Khalid dalam writ samannya mendakwa pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu adalah berunsur fitnah.

Beliau memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi khas dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Tiada ulasan: