Khamis, 9 Jun 2011

Kes Khir Toyo: Bekas MB Selangor dapat ‘diskaun’ hampir 50 peratus

TERKINI

SHAH ALAM – Dua tanah lot dan banglo dijual kepada seorang ahli perniagaan pada harga RM6.5 juta sebelum didakwa dibeli oleh Dr Mohd Khir Toyo dengan harga RM3.5 juta, demikian diberitahu di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pemaju hartanah Saiful Aznir Shahabudin memberitahu dia menjual hartanah itu kepada pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni pada Disember 2004.

“Saya minta RM7 juta,” kata Saiful hari ini.

“Selepas beberapa perbincangan, kami bersetuju dengan harga RM6.5 juta bagi kedua-dua lot dan rumah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd itu.

Saiful berkata beliau membeli dua bidang tanah bersaiz 53,000 kaki per segi dengan harga RM1.3 juta pada 1995 dan 1996.

Katanya, beliau kemudian membina sebuah banglo 15,000 kaki per segi di atas satu lot tanah dengan kos RM2.5 juta dan RM3 juta.

Shamsuddin, yang dituduh bersubahat dengan Dr Khir (gambar) dalam urusan itu, mula memberi keterangan hari ini selepas pendakwa menggugurkan tuduhan ke atasnya kelmarin.

Bagaimanapun sesi beri keterangan ditangguhkan sehingga esok selepas Shamsuddin dilaporkan tidak sihat setelah setengah jam naik kandang saksi.

Terdahulu, Shamsuddin ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed kelihatan gelisah dan cemas untuk menjawab soalan yang ditanya.

Justeru, peguamnya Tan Hock Chuan meminta kebenaran Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki untuk berehat lima minit bagi memberi ruang kepada anak guamnya berehat sebelum mahkamah ditangguhkan.

Abdul Wahab bertanya Shamsuddin mengenai proses pembelian tanah dan banglo dan isi perbincangan antaranya dengan Dr Khir dan Saiful.

Bagaimanapun, Shamsuddin teragak-agak untuk menjawab soalan yang dikemukakan.

Dr Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada Ditamas.

Bekas menteri besar Selangor itu didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta daripada Saiful.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.

Shamsuddin pula didakwa bersuhabat dengan beliau untuk melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.

Bagaimanapun kelmarin pihak pendakwa telah menggugurkan tuduhan ke atas Shamsuddin.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dr Khir yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan.

Tiada ulasan: