Ahad, 5 Jun 2011

Kerajaan Umum Projek Pembangunan Sungai Klang Tiga Bulan Lagi

TVS NEWS



KLANG : Projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang dijangka diumumkan dalam masa tiga bulan lagi memandangkan perbincangan masih berjalan diantara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan Pusat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid berkata kerajaan Pusat telah menyatakan minat untuk berkongsi dana bagi membersihkan Sungai Klang.
Khalid menambah, kerajaan negeri kini sedang berbincang dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri, mengenai projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang yang merupakan antara projek pembangunan Greater KL.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Fotografi Warisan Selangor 2011 di atas Jambatan Kota yang merentangi Sungai Klang, di sini, hari ini.

Pada Mac 2010, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk memulihkan sungai itu dan membangunkan kawasan sekitarnya iaitu TSS-Mako
Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering Sdn Bhd, Wessex Water I-Bhd Consortium manakala DPZ Asia Sdn Bhd bagi perancangan dan reka bentuk projek itu.

Projek itu pada mulanya dirancang untuk bermula di Klang dengan kos pembangunan sebanyak RM1 bilion dan RM1 bilion lagi untuk membersih dan
memulihkan sungai itu, yang mana 80km daripada 120km sungai itu berada di dalam negeri Selangor, dan selebihnya di Kuala Lumpur.
Karnival sehari yang dianjurkan oleh Tourism Selangor Sdn Bhd, Photo Creator dan Majlis Perbandaran Klang itu mempamerkan 237 foto mengenai tempat bersejarah, kehijauan hutan dan warna kehidupan masyarakat di negeri ini di atas jambatan sepanjang 181 meter itu.
Pameran itu telah direkodkan sebagai Kolaj Foto Terpanjang di atas jambatan di Malaysia oleh Malaysia Book of Records dan disahkan oleh Presidennya Datuk Danny Ooi yang turut hadir pada karnival tersebut.

Tiada ulasan: