Ahad, 5 Jun 2011

Kenapa Baru Sekarang Mahu Tubuh Inkues Sarbani ?

Ditulis oleh Naeem Raffi



SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) meragui keputusan mengejut Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk membentuk sebuah inkues berhubung kes kematian pegawai kanan Kastam Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Penubuhan inkues itu hanya diketahui selepas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Ku Chin Wah pada 2 Jun lalu menyatakan polis akan memohon diadakan inkues dan perkara itu dipersetujui Peguam Negara.

Nurul Izzah dan N. Surendren dalam kenyataan bersamanya berkata, cadangan penubuhan itu bukan sahaja mengejut dan meragukan, malah ianya tidak sesuai dan tidak tepat dalam konteks undang- undang.

Justeru, PKR berpendapat sebuah inkues tidak boleh ditubuhkan sewenangnya apabila pendakwaan kes jenayah lebih sesuai dijalankan.
Sarbani adalah seorang individu berkeluarga yang sempurna akal dan sihat tubuh badan yang secara sukarela datang ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk membantu siasatan.

Beliau meninggal dunia setelah disyakki jatuh dari tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun tiada bukti konkrit yang mengatakan beliau membunuh diri.

Allahyarham juga terbukti tidak mengumpul kekayaan di luar keupayaan dan kemampuannya sepanjang berkhidmat dalam pasukan kastam.

"Motif bunuh diri adalah sangat tidak munasabah dan tidak wujud sekelumit pun," jelas Izzah dan Surendren.

Beberapa fakta yang wujud secara jelas dan tegas membuktikan kewujudan salahlaku yang membawa kepada kematian Sarbaini, khususnya apa yang diperincikan oleh balu Allahyarham di dalam laporan polis yang dibuat pada 2 Mei 2011, di mana pegawai penyiasat SPRM telah mengakui bahawa 'orang mereka' bertanggungjawab atas kematian tersebut.

kedua- dua naib presiden PKR itu menegaskan PDRM dan Peguam Negera sepatutnya daripada awal sudah menubuhkan inkues jika terdapat keraguan yang serius mengenai punca kematian allahyarham.

Tambah menjelikkan sejak kematian berlaku, polis memberikan gambaran seolah- olah proses siasatan berjalan lancar.

"Apakah gambaran ini diberikan hanya semata-mata untuk meredakan kemarahan rakyat yang bangkit berikutan kematian tragis ini ?" soal mereka.

Pada pertengahan April, polis telahpun menyatakan proses siasatan telah masuk ke fasa akhir. Kini, terbukti segala bentuk siasatan yang dibuat mahu menutup kemarahan rakyat semata-mata dan sebuah inkues terpaksa diwujudkan.

"Mengapa rakyat diselewengkan daripada fakta sebenar dalam hal ini?" soal mereka lagi.

Pengumuman mengejut bersabit penubuhan inkues ini dibuat sehari selepas PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) yang mempersoalkan ketirisan PDRM dalam mengendalikan kes ini.

Tiada ulasan: