Selasa, 7 Jun 2011

Kempen kesihatan mesti bersepadu, disokong badan kerajaan

S. M. Mohamed Idris


Rakyat Malaysia tidak mengubah gaya hidup mereka dengan drastik walaupun berjuta ringgit dibelanjakan oleh kerajaan untuk menarik mereka dengan kempen kesihatan. Adakah rakyat Malaysia bersikap endah tak endah dan menyalahkan sepenuhnya ketidakberkesanan pelbagai usaha kempen kesihatan yang dilakukan serta wang pembayar cukai yang digunakan untuk kempen ini dibazirkan?

Kerajaan dan rakyat tidak seharusnya terkejut dengan pendedahan baru-baru ini bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM500 juta untuk kempen kesihatan oleh Kementerian Kesihatan sejak 1980-an tidak menghasilkan perubahan gaya hidup yang diperlukan.

Pendek kata, ini bermakna mesej itu sama ada tidak mencapai sasaran rakyat Malaysia atau tidak mempunyai kesan yang diperlukan untuk memotivasikan mereka untuk mengubah hidup mereka. Sebelum kita meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu rakyat, kita perlu meneliti setiap sudut berjuta ringgit yang dibelanjakan untuk kempen kesihatan terhadap pengiklanan dan naungan terhadap perbadanan multinasional yang menghasilkan produk yang disasarkan.

Kempen kesihatan hanya berkesan jika terdapat usaha bersepadu kerajaan dan tidak ‘disabotaj’ oleh kementerian lain yang memberikan sokongan kepada pengiklanan, promosi, dan penanaman produk ini.

Kita semua sedia maklum dengan kempen ‘Tak Nak’ dengan belanja RM100 juta yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada awal 2004 dengan aspirasi untuk menghasilkan persekitaran bebas merokok di pejabat dan premis kerajaan.

Banyak perkara yang menjadi halangan kepada kejayaan kempen ini. Salah satu daripadanya ialah Malaysia menjadi tuan rumah pameran dan persidangan perdagangan tembakau terbesar pada tahun berikutnya (2005) selepas pelancaran, dengan saranan Kementerian Kesihatan supaya melarang acara itu ditolak oleh pengaruh politik. Wakil yang dilantik oleh kita dan peminpin serta pegawai kerajaan terus mempersendakan cadangan persekitaran bebas merokok di bangunan kerajaan dengan merokok dalam ruang pejabat berhawa dingin dan di lobi Parlimen serta bangunan dewan negeri.

Golongan belia pula sentiasa terdedah kepada nama jenama rokok melalui syarikat tembakau yang menaja acara terkenal seperti bolasepak, badminton, dan konsert. Bagaimana orang ramai menerima langkah kerajaan dengan serius apabila pendirian antimerokok Kementerian Kesihatan tidak disokong, terang-terangan atau terbuka oleh pihak kementerian, agensi dan pemimpin lain. Mesej yang memihak kepada perokok lebih kuat dan jelas, memandangkan tembakau dipromosikan secara agresif melalui apa yang dikaitkan dengan kecemerlangan sukan dan penanamannya digalakkan secara aktif oleh kerajaan.

Syarikat tembakau kekal sebagai pengiklan utama di Malaysia. Mereka mampu untuk bebas daripada peraturan pengiklanan dengan memperkenalkan aksesori, pakaian dan produk lain dengan nama jenama mereka. Syarikat tembakau berjaya menarik minat remaja dan belia dengan mengaitkan rokok dengan acara sukan utama, konsert dan produk yang mempunyai kepentingan kepada kumpulan sasaran ini. Kira-kira 50% lelaki Malaysia dan kira-kira 30% remaja lelaki (12 – 18 tahun) merokok. Wanita dan perempuan Malaysia juga semakin ramai yang mengamalkan tabiat merokok ini.

Kemudian terdapat pula Kempen Hidup Sihat yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 1991, diikuti oleh kempen untuk mengurangkan gula pada lewat 1990-an serta Kempen “Kurangkan Gula” yang dilancarkan pada Mac 2010.

Kempen ini adalah untuk memastikan orang ramai mengamalkan pemakanan yang sihat, mengurangkan pengambilan gula mereka, senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), makanan dan diet menyumbang kepada kesihatan individu.

Di Malaysia, pengambilan gula jauh melebihi pengambilan harian yang disarankan iaitu tidak lebih daripada 50 gram atau bersamaan 10 sudu teh sehari – daripada WHO dan Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2010. Pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia sebenarnya semakin tinggi setiap tahun.

Perangkaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan jumlah pengambilan gula oleh rakyat Malaysia 71.5 gram sehari pada 2002, meningkat kepada 75.6 gram sehari pada 2007. Pengedaran gula tempatan juga meningkat daripada 651,973.12 tan metrik pada 2004 kepada 806,381.88 tan metrik pada 2009.

Pengambilan gula yang tinggi boleh membawa kepada karies gigi, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Pada 1996, 16% rakyat Malaysia yang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan 4% obes, dan ini meningkat kepada 29.1% berat berlebihan dan 14% obes pada 2006. Obesiti meningkatkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Kempen bagi mengurangkan gula dan pemakanan sihat kelihatan ditentukan pendekatannya hanya oleh sebuah agensi kerajaan, yang dibiarkan sendiri mengendalikan masalah obesiti yang semakin berkembang dalam kalangan kanak-kanak. Kita hanya melihat sokongan daripada Kementerian Pelajaran hanya baru-baru ini dengan cadangan garis panduan yang lebih tegas terhadap makanan yang tinggi kandungan gula atau snek yang dijual oleh pengendali kantin dan di luar kawasan sekolah.

Oleh sebab itu, adalah tidak mengejutkan Malaysia menduduki tempat utama di Asia Tenggara, ke enam di Asia dan ke 39 di dunia bagi obesiti, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh WHO. Kita juga menduduki tempat ke tujuh di Asia dan ke 44 di dunia bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan.

Obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa Malaysia juga semakin meningkat. Ia jelas menunjukkan kempen kesihatan kita tidak sejajar dengan promosi kos tinggi, agresif oleh syarikat minuman dan makanan yang kaya dengan gula serta syarikat makanan segera. Terdapat budaya makanan segera yang dicipta daripada kalangan anak-anak kecil kita, yang diburukkan lagi oleh makanan dan snek yang tidak sihat yang dijual di kantin sekolah.

Kerajaan perlu bertindak sekarang, bertindak secara bersepadu dan bertindak dengan satu tujuan untuk membawa perubahan kepada minda rakyat Malaysia dan memastikan mereka melaksanakan gaya hidup sihat, dengan membuang tabiat merokok, mengambil alkohol serta pemakanan yang tidak seimbang. Semua agensi kerajaan mestilah bekerjasama untuk kepentingan rakyat sebagai ganti menutup mata, terus mendiamkan diri atau memberikan sokongan mereka kepada syarikat yang melakukan kesalahan dengan menghentikan penajaan korporat mereka. Kita perlu ingat bahawa “Kesihatan itu Kekayaan”.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak kementerian kerajaan persekutuan menunjukkan barisan bersatu dan melaksanakan kempen yang serius dan selaras serta disokong oleh kawalan dan peraturan yang lebih tegas. Jika tidak, tindakan kempen tidak akan membuahkan hasil dan akan hanya membazirkan wang memandangkan langkah Kementerian Kesihatan dipintas oleh kebanyakan, jika tidak semua, oleh kementerian lain.

Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa terdapat bahaya sebenar dan mereka mestilah diyakinkan untuk mengubah tabiat dan gaya hidup mereka, oleh niat baik kerajaan. Mestilah terdapat dasar dan perundangan pencegahan yang tegas, bukannya separuh hati yang akan gagal dan akan tidak diendahkan.

S. M. Mohamed Idris,

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No. 10, Jalan Mesjid Negeri,

11600 Pulau Pinang.

Tel: 04 8299511 Faks: 04 8298109

emel: idrismd@tm.net.my, Laman Sesawang: http://consumer.org.my

Tiada ulasan: