Selasa, 21 Jun 2011

Kabinet PAS S'gor ikut gaya Kelantan

MALAYSIA KINI


Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman berkata, kabinet barunya yang dilantik malam tadi bukanlah kehendaknya seorang tetapi melambangkan hasrat akar umbi parti itu.

Ini kerana, katanya, nama-nama yang dicadangkan datang terus daripada PAS kawasan yang dihubunginya.

NONE"Kita ikut stail Kelantan. Kita hubungi semua YDP (yang dipertua) dan minta nama-nama (cadangan). Majoriti PAS kawasan minta orang ini dilantik," katanya.

Dr Rani (kiri) yang baru dipilih menggantikan Dr Hasan Ali hari ini mengumumkan kabinet barunya yang menyaksikan perubahan drastik, antaranya apabila dua timbalan pesuruhjaya yang lama digugurkan.

Selain itu, rombakan itu juga menyaksikan dua wakil rakyat PAS Khalid Samad (Shah Alam) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) yang dipecat Khalid pada November 2008 dilantik semula ke jawatan masing-masing.

Dalam sidang media di pejabat PAS negeri di Shah Alam hari ini, Dr Rani yang juga ADUN Meri menjelaskan, dua pemimpin itu dipilih kedua-duanya boleh bekerjasama dengannya.

"Saya lihat begini, yang duduk ini orang yang boleh bekerjasama. Kita kena ambil yang boleh bekerjasama.

"Dalam PAS ini pelik, kalau tidak dilantik lagi suka. Saya dulu nak potong (sembelih) kambing kalau tak terpilih," katanya sambil disambut gelak ketawa pemberita.

'Hasan Ali ikon saya'


Bagaimanapun, menurut Dr Rani, Dr Hasan hanya dilantik sebagai anggota jawatankuasa bagi membolehkan exco kerajaan negeri itu memfokuskan kepada peranannya di pringkat lebih negeri.

"Demi Allah, beliau antara pemimpin yang menjadi ikon saya," katanya yang dilihat secara tidak langsung menafikan terdapat usaha menyingkirkan Dr Hasan dan pengaruhnya dalam PAS Selangor.

hasan ali khalid samad saari sungib pas selangorDr Hasan pada 24 November lalu dilaporkan menggugurkan Khalid dan Saari kerana "kepanasan" dengan kritikan yang diterimanya berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Tempat Khalid digantikan ahli parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat. Bagaimanapun, dalam sesi ini, Dr Che Rosli dan seorang lagi timbalan pesuruhjaya Dr Osman Sabran digugurkan.

Saari juga berjaya mendapat kembali tempatnya yang digantikan bekas setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Sharir yang dilihat sebagai orang kepercayaan Dr Hasan.

Bagaimanapun, pemimpin popular PAS Dr Halimah Ali yang juga exco kerajaan Selangor hanya dilantik semula sebagai anggota jawatankuasa perhubungan negeri.

Bagi Dr Rani, selain menggabungkan muka baru dan muka lama, kabinet itu juga merupakan gabungan pelbagai kumpulan, termasuklah ulama, profesional dan aktivis.

Jalan tengah

Ketika banyak pihak melihat rangkaian Mohamad akan menguasai teraju kepimpinan PAS Selangor, Dr Rani dilihat mengambil langkah bijak dengan memilih jalan tengah dan menggabungkan semuanya.

Ini jelas kelihatan daripada pelantikan tiga timbalan pesuruhjaya apabila exco Selangor Iskandar Abd Samad sebagai muka lama dikekalkan bergandingan dengan Khalid yang dilihat mewakili kumpulan Erdogan dan Sallehen Mukhyi sebagai muka baru yang dikatakan sealiran dengan Dr Hasan.

NONE"Saya seorang doktor. Dalam badan kita ada hati, ada buah pinggang dan pelbagai organ lain. Semuanya perlu bekerjasama untuk memastikan tubuh kita sihat," kata pengamal perubatan itu.

Dr Rani juga menjelaskkan dua timbalan pesuruhjaya sebelum ini digugurkan disebabkan masalah kesihatan yang dideritai mereka.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan 'kelantangan' kepimpinan lama di bawah pentadbiran Dr Hasan, Dr rani berkata "lantang sahaja tidak jadi".

"Semua kena main peranan. Kalau tidak ada kerjasama tak jadi. Kena libatkan semua. Lantang macam mana pun, kena bincang dulu," katanya.

Dr Abd Rani menghadapi tugas berat menukar imej PAS Selangor yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini, antaranya dalam isu larangan penjualan arak di negeri itu.

Tiada ulasan: