Rabu, 29 Jun 2011

JANGAN BERLAKON PERSENDAKAN RAKYAT

Oleh : CHANG SHAK HUNG


HUJAN lebat yang turun pada awal tahun ini telah menyebabkan Sandakan menjadi transit bencana alam yang telahpun berlalu dan kini hanya tinggal igauan ngeri kepada setiap penduduk; termasuklah mereka yang tinggal di rumah papan bertiangkan kayu di lereng-lereng bukit.

Satu aduan yang telah diterima Sabahkini.net daripada salah seorang penduduk yang menetap di Jalan Kun Yam, Cecily, Chau See Tzan, membuatkan wartawan bergegas ke tempat yang dimaksudkan.

Alangkah dasyatnya kesan runtuhan yang telah menimpa rumah Chau akibat daripada kuasa Tuhan yang hampir mengorbankan nyawa mereka sekeluarga. Beliau yang tinggal bersama ibunya yang berumur 82 tahun serta isteri dan 5 orang anak berumur antara 7 hingga 15 tahun, masih dalam keadaan trauma dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Menurut Chau, Ahli Parlimen Malaysia (Batu Sapi) serta wakil Adun Karamunting telah datang meninjau beberapa lokasi tanah runtuh di Jalan Cecily, namun agak menghairankan kerana tidak ada sebarang tindakan lanjut diambil sehingga lawatan Sabahkini.net, kira-kira jam 5 petang isnin.

Natijahnya, Chau terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan sisa-sisa runtuhan tanah ke kawasan rumahnya untuk dimuatkan di dalam karung guni bagi dijadikan sebagai benteng penghadang.

Runtuhan tanah setinggi 6 kaki hampir-hampir meranapkan rumah mereka. Hasil tinjauan susulan yang dibuat, didapati gelongsoran tanah telah berlaku dengan serius dan laluan air di bawah tanah telah terbentuk sehingga menyebabkan kestabilan tanah tergugat. Terdapat jurang kira-kira satu inci antara lapisan tanah dengan lapisan atas simen (seperti dalam gambar kecil) dan menunggu masa untuk runtuh.

Chau kesal kerana pihak wakil rakyat tidak sepatutnya lepas tangan; tanpa membantu rakyat yang betul-betul memerlukan bantuan. Memandangkan kawasan runtuhan berkenaan akan bertambah serius dan memberi kesan kepada penduduk di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi pada musim hujan.

Jangan hanya berlakon ketika turun padang kerana apabila pihak kontraktor MPS membersihkan longkang kerana itu adalah tugas MPS dan langsung tidak menggunakan peruntukan MP atau Adun.

Tidak ada gunanya MP atau Adun berlakon semasa pihak kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memperbaiki jalan seolah-olah mereka yang mengeluarkan peruntukan kerana pembaikan berkenaan hanya daripada JKR.

Memang agak keterlaluan jika MP atau Adun berlakon seolah-olah mereka sedang membantu rakyat dengan mendapatkan bantuan kebajikan kerana tugas Pegawai Jabatan Kebajikan adalah untuk membantu rakyat yang miskin dan susah; apatah lagi memang tugas hakiki mereka.

Pengundi akan kecewa dan jengkel jika MP atau Adun menggunakan wang rakyat untuk menderma kepada persatuan, seolah-olah mereka menggunakan wang gaji mereka sendiri; tanpa segan silu duduk di meja utama semasa sesuatu majlis makan malam.

Oleh yang demikian, wakil rakyat seharusnya menggunakan peruntukan meraka membantu penduduk setempat di kawasan mereka dengan penuh ikhlas dan secara langsung dan tidak hanya pandai berdolak-dalih tanpa memberi bantuan yang sepatutnya kepada mereka.

Tiada ulasan: